• Bajau Laut Disyaki Bunuh 100 Penyu Di Pulau Bum-Bum

    Published: Friday, 29 September 2017
    A- A+

    KOTA KINABALU : Golongan Bajau Laut atau dikenali nomad laut dipercayai telah membunuh dengan kejam kira-kira 100 ekor penyu yang rangkanya ditemukan bertaburan di pantai Kampung Pantau-Pantau, Kampung Amboh-Amboh dan Kampung Sampolan di Pulau Bum-Bum, Semporna baru-baru ini.

    Mengenai rangka penyu yang tular di media sosial semalam, Pengarah Jabatan Hidupan Liar Sabah Augustine Tuuga berkata pasukan penyiasat yang dibantu oleh polis Semporna, polis marin Taman Sabah, World Wildlife Fund (WWF) dan Persatuan Wanita Pulau Omadal (WAPO) telah dihantar ke pulau itu awal semalam dan menemukan lapan bangkai penyu dan satu terapung di laut.

    “Bangkai penyu itu tidak lagi berada di kawasan yang pada awalnya ditemukan tetapi dpercayai dihanyutkan ke laut.

    “Siasatan lanjut di kampung-kampung pesisir di sekitar pulau tersebut menunjukan aktiviti pemburuan haram (oleh golongan Bajau Laut) telah berlarutan agak lama,” kata beliau dalam satu kenyataan di sini malam tadi.

    Tuuga berkata siasatan masih dijalankan tetapi beberapa suspek telah dikenal pasti.

    Dalam kes lain, Pengarah Hidupan Liar itu berkata jabatan sedang menyiasat kematian seekor gajah yang dijumpai terapung di Sungai Kinabatangan oleh seorang pemandu pelancong yang menaiki bot menyusuri sungai bersama sekumpulan pelancong pada 25 Sept (Isnin).

    Beliau berkata bangkai gajah itu dibawa ke darat dan bedah siasat telah dijalankan oleh pegawai veterinar jabatan tersebut.

    “Haiwan itu ialah gajah jantan, dianggar berusia 15 hingga 20 tahun, dan dipercayai telah mati atau dibunuh tiga hari sebelumnya (22 Sept).

    Tuuga berkata bedah siasat tidak menemui sebarang bukti kesan tembakan pada badan haiwan itu dan ada kemungkinan gajah itu termasuk dalam perangkap yang akhirnya menyebabkan haiwan itu mati akibat keletihan.

    “Siasatan sekarang tertumpu untuk mengenal pasti kawasan yang mungkin gajah itu mati atau dibunuh di hulu Sungai Kinabatangan sebelum bangkainya dicampak ke dalam sungai,” kata beliau. — Bernama

    Subjects:

  • No Comment to " Bajau Laut Disyaki Bunuh 100 Penyu Di Pulau Bum-Bum "