• Badut Jadi Calon Pilihan Raya Boston

    Published: Thursday, 21 September 2017
    A- A+

    BOSTON: Seorang badut antara calon yang bakal bertanding dalam pilihan raya ahli majlis di Majlis Perbandaran Boston, Amerika Syarikat.

    Pat Payaso antara tiga calon baru bersaing bersama empat penyandang kerusi ahli majlis dalam pilihan raya yang berlangsung pada 7 November ini.

    Payaso yang memakai kostum badut tidak menggunakan suara untuk berkempen.

    Ketika sidang media bersama calon lain baru-baru ini, Payaso tidak bercakap tetapi menggunakan beberapa peralatan dan carta untuk menjawab soalan wartawan.

    Dalam kempen di YouTube, Payaso menggelar dirinya ‘ahli politik Boston yang jujur’ dan berjanji untuk mencium bayi, membantu kanak-kanak masuk ke sekolah terbaik serta berusaha mewujudkan perumahan mampu milik.

    Akhbar Boston Herald melaporkan, nama sebenar lelaki itu adalah Kevin McCrea sebelum dia menukar nama kepada Payaso yang bermaksud badut dalam bahasa Sepanyol, pada Februari lalu.

    Dia sebelum ini pernah bertanding merebut kerusi ahli majlis pada 2005 dan pilihan raya datuk bandar Boston pada 2009.

    Pengerusi kempen Payaso, Steven Croes berkata, pihaknya masih mengatur kempen pilihan raya dan yakin calon itu layak untuk menjadi ahli majlis.

    “Keazaman dan pengalaman Payaso meyakinkan saya untuk menyokongnya dalam pilihan raya ini,” katanya.-Agensi

    Subjects:

  • No Comment to " Badut Jadi Calon Pilihan Raya Boston "