• Badan Jadi Belon

    Published: Thursday, 7 September 2017
    A- A+

    Pisco, Peru: Badan seorang nelayan menggelembung akibat satu keadaan luar biasa selepas timbul ke permukaan terlalu cepat ketika menyelam di lautan baru-baru ini.

    Berat badan Alejandro Ramos Martinez juga meningkat hampir 30 kilogram selepas dada dan tangannya menggelembung.

    Martinez berkata, dia menyelam di dasar lautan untuk menangkap udang dan ikan sebelum naik ke permukaan terlalu cepat.

    Kesilapan itu menyebabkan gas nitrogen di dalam darahnya bertukar menjadi gelembung, satu keadaan yang dikenali sebagai ‘bends’ atau penyakit dekompresi.

    Keadaan itu yang berpunca daripada naik ke permukaan terlalu cepat boleh membawa maut dan sangat ditakuti oleh penyelam.

    Bagaimanapun, dalam kes Martinez, gelembung nitrogen terperangkap di sekitar ototnya dan ia sangat jarang berlaku serta unik.

    Doktor juga masih berusaha mendapatkan rawatan yang sesuai untuk Martinez.

    Martinez kini diberi rawatan oksigen dalam kebuk tekanan tinggi.

    Seorang doktor di Hospital San Juan de Dios, Miguel Alarcon berkata, pihaknya sehingga kini berjaya mengeluarkan 30 peratus nitrogen daripada badan lelaki itu.

    “Kami juga menjalankan kajian terhadap penyakit dekompresi yang dialami Martinez kerana kami tidak pernah melihat keadaan seperti itu sebelum ini,” jelasnya.

    Keadaan itu menyebabkan Martinez sering berasa sakit dan sukar berjalan serta mengalami tekanan darah tinggi. - Agensi

    Subjects:

  • No Comment to " Badan Jadi Belon "