• Awas! Sehingga 20 Kesalahan Lalu Lintas Ditambah

    Published: Saturday, 16 September 2017
    A- A+

    KUALA LUMPUR – Kerajaan akan menyenaraikan tambahan sehingga 20 kesalahan jalan raya di bawah Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (Awas) menjelang akhir tahun ini, kata Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai.

    Beliau berkata buat masa ini, hanya dua kesalahan diletakkan di bawah Awas iaitu membawa kenderaan melebihi had laju dan melanggar lampu isyarat merah di bawah Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES).

    Selain dua kesalahan tersebut, Liow berkata kesalahan lalu lintas lain seperti memotong di garisan berkembar serta memandu di lorong kecemasan akan dikuatkuasakan secara berperingkat selepas kajian dijalankan oleh kerajaan.

    “Sistem kami perlu dikemas kini dari semasa ke semasa bagi menangani ciri-ciri tambahan dan pada masa ini, kami sedang dalam proses menyenaraikan kesalahan-kesalahan satu demi satu.

    “Ia mengambil sedikit masa tetapi kami akan menyenaraikan sehingga 20 kesalahan menjelang akhir tahun ini,” katanya pada sidang media selepas menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysdia (MIROS) dan 3M Malaysia Sdn Bhd., di sini hari ini.

    Perjanjian itu merupakan kerjasama antara kedua-dua pihak berhubung keselamatan jalan raya.

    Sistem canggih Awas, yang dilancarkan April lepas, dibangunkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), dengan melibatkan penggunaan kamera litar tertutup dibantu sistem IT bagi mengenal pasti dan mengesan semua pesalah jalan raya dalam masa yang singkat.

    Melalui sistem ini, pesalah akan diberi amaran, kompaun, digantung lesen akan akhirnya disenarai hitam akibat kesalahan melanggar peraturan lalu lintas seperti memandu laju dan melanggar lampu isyarat.

    Liow berkata objektif utama bukan untuk menghukum pengguna jalan raya tetapi menekankan kepada usaha mengurangkan kes kemalangan maut.

    “Kami mahu sistem ini mendidik pengguna jalan raya supaya lebih berdisiplin dan mematuhi had laju yang ditetapkan dan peraturan lalu lintas. Justeru, langkah ini akan mengurangkan kadar kemalangan dan kemalangan maut di jalan raya, “ katanya. – BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Awas! Sehingga 20 Kesalahan Lalu Lintas Ditambah "