• Awas Pelaburan Dana PRU-14

    Published: Friday, 8 September 2017
    A- A+

    SEREMBAN: “Biarpun saya sudah mendapat semula wang itu, tetapi saya tidak mahu perkara sama berlaku kepada orang lain,” kata Anas Salmee Syed Mohammad, 49, yang mendakwa hampir ditipu seorang lelaki menawarkan pelaburan dana bagi Pilihanraya Umum ke-14 (PRU-14), awal bulan ini.

    Wanita dari Taman Matahari Height, Senawang, di sini, berkata kejadian itu berlaku ketika dia melayari laman sosial Facebook sebelum berkenalan dengan seorang lelaki berusia 49 tahun pada 3 Ogos lalu.

    Katanya, lelaki terbabit mendakwa berstatus Datuk Seri dari Shah Alam, Selangor dan memiliki sebuah syarikat penerbitan di Lembah Klang yang turut menjalankan aktiviti pelaburan dana bagi PRU14.

    “Saya berjumpa dengannya pada keesokkan hari di sebuah restoran di Senawang, di sini, pada jam 10.30 pagi. Pertemuan berlangsung hampir sejam dan lelaki itu mengajak saya melabur bersamanya.

    “Malah, lelaki itu memberitahu wang sumbangan akan disalurkan kepada parti politik dan 14 hari kemudian, jumlah wang akan berganda,” katanya yang berkunjung ke pejabat Harian Metro, di sini, semalam.

    Katanya, lelaki itu cuba meyakinkannya dan menawarkan janji manis supaya dia terjebak dalam pelaburan berkenaan.

    “Saya seperti terpukau dengan tawaran lalu memasukkan wang RM3,200 dalam akaun lelaki terbabit menerusi mesin deposit tunai di sebuah bank di Senawang,” katanya.

    Anas Salmee yang bekerja sendiri, berkata dia menghubungi lelaki itu pada 20 Ogos lalu bagi bertanyakan pulangan wang pelaburan tetapi pelbagai alasan diberikan sebelum menghilangkan diri.

    “Kesal dengan perbuatannya, saya membuat laporan di Balai Polis Senawang pada 28 Ogos lalu bagi menuntut pembelaan,” katanya.

    Sehari selepas laporan dibuat, Anas Salmee memberitahu lelaki itu bahawa dia sudah membuat laporan polis menyebabkan wang terbabit dipulangkan.

    “Saya tahu lelaki itu cuba menipu dan tidak mahu orang ramai menjadi mangsa,” katanya sambil berharap polis menjalankan siasatan menyeluruh ke atas skim pelaburan terbabit.

    Sementara itu, Ketua Polis Negeri Datuk Noor Azam Jamaludin ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan dan siasatan lanjut masih dijalankan.

    Kataya, siasatan mendapati memang wujud cubaan menipu dan pihaknya akan menyiasat mengenai skim pelaburan berkenaan.-myMetro

    Subjects:

  • No Comment to " Awas Pelaburan Dana PRU-14 "