• AS Arah Russia Tutup Konsulat Di San Francisco

    Published: Friday, 1 September 2017
    A- A+

    WASHINGTON - Amerika Syarikat mengarahkan Russia supaya menutup pejabat konsulatnya di San Francisco, selain dua lagi pejabat masing-masing satu di Washington dan New York dalam tempoh dua hari.

    Jabatan Negara berkata, keputusan itu diambil susulan tindakan Moscow mengarahkan Washington mengurangkan jumlah kakitangan diplomatiknya di Russia pada Julai lalu.

    Sebelum ini, sebaik sahaja mengambil alih jawatan, Presiden Donald Trump, berkata beliau berharap hubungan antara negara itu dengan Presiden Russia, Vladimir Putin dapat diperbaiki.

    Bagaimanapun, Putin mengambil langkah drastik apabila mengarahkan Washington mengurangkan jumlah kakitangannya di Moscow sebagai bantahan kepada keputusan Kongres Amerika Syarikat yang meluluskan sekatan ekonomi terbaharu terhadap Russia.

    Keputusan itu diambil susulan tuduhan campur tangan Russia dalam pilihan raya presiden Amerika Syarikat pada 2016.

    Selain pejabat konsulat di San Francisco, arahan penutupannya itu turut membabitkan pejabat kedutaan besar di Washington dan pejabat konsul di New York.

    "Amerika Syarikat sudah melaksanakan dengan sepenuhnya arahan Kerajaan Russia supaya Washington mengurangkan kakitangannya di negara itu," kata jurucakap Jabatan Negara, Heather Nauert dalam satu kenyataan.

    Nauert berkata, langkah itu juga bermakna Amerika Syarikat dan Russia masing-masing akan mempunyai hanya tiga pejabat konsulat di negara terbabit. - AFP

    Subjects:

  • No Comment to " AS Arah Russia Tutup Konsulat Di San Francisco "