• AS Ancam Musnahkan Korea Utara

    Published: Wednesday, 20 September 2017
    A- A+

    NEW YORK: Presiden Donald Trump memberi amaran Amerika Syarikat (AS) mungkin terpaksa memusnahkan sepenuhnya Korea Utara melainkan Pyongyang menarik diri daripada membangunkan senjata nuklearnya.

    Presiden AS itu turut menggelar pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un, sebagai 'lelaki roket' dalam misi bunuh diri.

    Bisikan kuat memenuhi dewan Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) ketika Trump mengeluarkan amaran paling kerasnya terhadap Korea Utara, yang mana pelancaran peluru berpandu balistik dan ujian nuklearnya menggemparkan dunia.

    "Kami tiada pilihan selain memusnahkan sepenuhnya Korea Utara jika mereka tidak berundur.

    "Lelaki roket dalam misi bunuh diri untuk dirinya dan rejim," katanya.

    Trump menggesa negara anggota PBB bekerja sama untuk memulaukan kerajaan Jong-un sehingga Korea Utara menghentikan tindakan permusuhan.

    Seorang diplomat muda Korea Utara berada dalam kerusi hadapan delegasi ketika ucapan Trump, kata misi PBB Korea Utara.

    Beralih kepada Iran, Trump menyifatkan perjanjian nuklear 2015 dirunding bekas Presiden Barack Obama sebagai sesuatu yang memalukan dan memberi bayangan beliau mungkin tidak mengesahkan perjanjian itu menjelang tarikh akhir pertengahan Oktober ini.

    Trump juga menggelar Iran 'negara penyangak yang menghadapi kemelesetan ekonomi' dan mengeksport keganasan.

    Ucapannya menandakan cubaan terakhirnya untuk menggariskan visi 'Mendahulukan Amerika' untuk dasar luar AS menyasar menurunkan tahap birokrasi global, asas pakatan untuk kepentingan bersama dan memacu Washington jauh daripada pembangunan luar.

    Trump yang mentadbir Rumah Putih sejak lapan bulan lalu, memberitahu 193 pemimpin dunia menganggotai badan dunia itu, AS tidak berhasrat mempengaruhi negara lain dan akan menghormati kedaulatan mereka.

    "Saya akan mempertahankan kepentingan Amerika berbanding yang lain. Dalam memenuhi pematuhan kami terhadap negara lain, kami juga menyedari adalah menjadi kepentingan semua orang untuk mempunyai masa depan di mana semua negara boleh menjadi berdaulat, makmur dan selamat," katanya. -Reuters

    Subjects:

  • No Comment to " AS Ancam Musnahkan Korea Utara "