• Arab Saudi Bakal Sediakan Kemudahan Imigresen Di KLIA

    Published: Thursday, 28 September 2017
    A- A+


    KUALA LUMPUR - Jemaah haji Malaysia bakal mendapat kemudahaan pemeriksaan Imigresen Arab Saudi di KLIA di masa depan berikutan cadangan kerajaan negara itu untuk menjadikan Malaysia sebagai antara negara pertama melaksanakan program prapelepasan untuk jemaah haji di negara asal.

    Sekiranya kemudahan itu disediakan di negara ini, jemaah haji Malaysia tidak lagi perlu melalui pemeriksaan imigresen di lapangan terbang di Arab Saudi dan ia boleh mempercepatkan urusan perjalanan mereka untuk ibadah haji.

    Duta Besar Arab Saudi ke Malaysia, Mahmoud Hussien Saeed Qattan yang membayangkan kemungkinan itu berkata, kemudahan itu bakal disediakan di Malaysia di masa depan susulan daripada kejayaan satu program perintis prapelepasan Imigresen Arab Saudi yang dilaksanakan pada musim haji baru-baru ini.

    Bercakap kepada pemberita menerusi penterjemah, di Majlis Sambutan Hari Kebangsaan Arab Saudi yang ke-87, di sini Rabu malam, beliau berkata komitmen Malaysia dalam merealisasikan program perintis selama lima hari bermula 24 Ogos lepas di KLIA dan melibatkan 112 penerbangan itu adalah amat dipuji oleh Kerajaan Arab Saudi.

    “Kami berterima kasih kepada Malaysia atas peluang melakukan percubaan di lapangan terbang negara ini. Ini adalah percubaan yang berjaya,” katanya.

    Qattan, yang bercakap dalam bahasa Arab, bagaimanapun tidak menyatakan bila kemudahan itu akan mula disediakan di KLIA.

    Dalam program perintis baru-baru ini, kumpulan jemaah haji Malaysia daripada 112 penerbangan haji itu telah melalui keseluruhan proses pelepasan imigresen oleh pegawai Imigresen Arab Saudi di KLIA, sebelum mereka menaiki pesawat.

    Setibanya mereka di destinasi, jemaah haji Malaysia boleh melalui lorong khas dan terus menuju ke tempat mengambil bagasi, sekaligus dapat mengelakkan kesesakan yang sering berlaku di musim haji terutama apabila jemaah haji dari beberapa destinasi lain dari seluruh dunia tiba hampir bersamaan masa di lapangan terbang itu.

    Arab Saudi menyambut Hari Kebangsaan pada 23 Sept setiap tahun bagi meraikan pembentukan negara itu.

    Hubungan diplomatik antara Malaysia dan Arab Saudi bermula tahun 1961. - Bernama

    Subjects:

  • No Comment to " Arab Saudi Bakal Sediakan Kemudahan Imigresen Di KLIA "