• Apa Relevan Halau Rohingya Ke Bangladesh?

    Published: Tuesday, 12 September 2017
    A- A+

    300 ribu pelarian Rohingya kini menyeberangi sempadan Bangladesh. Angka ini naik hampir 100 peratus sejak krisis serangan tentera dan extrimis Buddha bermula pada Oktober 2012 di Rakhine.

    Dalam tempoh 18 hari sejak 25 Ogos, angka pelarian baharu ialah 140 ribu orang. Sebelum itu sekitar 160 ribu pelarian Rohingya mendiami kem-kem sementara di Sittwe dan Cox’s Bazar di Bangladesh.

    Myanmar memang mengharapkan penduduk Muslim Rohingya menjadi pelarian. Ini kaedah paling mudah dalam kempen penghapusan etnik di Rakhine. Pengusiran ini ada matlamatnya.

    Kaedah pembunuhan melalui pembantaian bersenjata serta menghapuskan kediaman melalui pembakaran rumah, hanyalah kaedah untuk menimbulkan ketakutan kepada Muslim Rohingya.

    Pembunuhan dan ketakutan akan mencetuskan gelombang pelarian.

    Kerajaan Myanmar menganggap Rohingya ialah Bengali. Istilah untuk rakyat Bangladesh. Secara lateral politik, Rohingya dalam istilah Bengali ialah pendatang haram dari Bangladesh yang menduduki tanah Myanmar tanpa dokumen.

    Sejak merdeka pada 1948, Perlembagaan Myanmar tidak menerima etnik Rohingya sebagai warga negara. Alasannya, mereka menduduki Myanmar selepas tahun 1870.

    Logiknya, bagaimana seseorang dapat membuktikan mereka secara individu memiliki keturunan sudah mendiami Myanmar selama lebih lapan dekad?

    Apakah pada tahun 1948, sesuatu yang adil bagi etnik Rohingya untuk membuktikan nenek moyang mereka mendiami Myanmar sebelum tahun 1870?

    Kini, tanpa dokumen, 300 ribu pelarian Rohingya di Bangladesh dan 100 ribu di Malaysia tidak akan dapat pulang lagi ke Myanmar. Alasan Junta Tentera mudah: Secara sejarah, mereka tidak memiliki dokumen kerakyatan.

    Teknik ini sama seperti digunakan Zionis Israel. Tindakan ganas Rejim Zionis menyebabkan enam juta rakyat Palestin menjadi pelarian sejak 1948. Bangsa Palestin merempat di Jordan, Syria, Lebanon, Iraq dan Turki selama 60 tahun. Hingga kini, tidak seorang pun pelarian dibenarkan pulang.

    Angka ini menjadikan jumlah pelarian Palestin lebih besar berbanding angka 2.6 juta penduduk Palestin yang masih ada di Gaza dan Tebing Barat.

    Israel memerlukan 20 tahun untuk mengusir penduduk Palestin dan merampas tanah mereka sejak 1948. Agenda ini memuncak selepas Perang Enam Hari pada 1967, dimana Tel Aviv berjaya menguasai 68 peratus bumi Palestin.

    Pengusiran hampir 400 ribu Muslim Rohingya, satu pencapaian besar untuk Kerajaan Myanmar. Ia mencapai angka 25 peratus dalam tempoh hanya lima tahun.

    Zeid Raad Hussein faham strategi jahat ini. Sebagai Pegawai Tertinggi Kemanusiaan PBB, kaedah jahat yang diperkenalkan Yahudi di Palestin kini menjadi model penghapusan etnik di Myanmar.

    Sekiranya angka 400 ribu Muslim Rohingya sudah menjadi pelarian, maka kurang sejuta yang masih bertapak di Rakhine.

    Zeid menyifatkan operasi kejam Tentera Myanmar sebagai ‘contoh pembersihan etnik dalam buku teks’.

    Zeid tidak bercakap kosong. Dalam pembentangan pada Majlis Hak Asasi Manusia PBB kelmarin, semuanya sangat lengkap.

    “Selain laporan, kami ada gambar satelit pasukan keselamatan dan militan Buddha membakar perkampungan Rohingya. Menepati dakwaan pembunuhan. Malah, menembak penduduk yang melarikan diri,” katanya.

    Kita sudah faham permainan Myanmar. Kalau kita lewat, dalam tempoh tiga tahun bangsa Rohingya tidak akan wujud lagi di Rakhine. Inilah realitinya. Semakin banyak bantuan dunia menyediakan kem-kem pelarian di sempadan Bangladesh, misi Kerajaan Myanmar akan lebih mudah dilaksanakan.

    Ketika dunia masih teraba-raba mencari penyelesaian, pembantaian harian dengan sasaran lima ribu penduduk Muslim melintas sempadan ke Bangladesh, adalah angka yang berbaloi bagi Junta Tentera mencapai misi penghapusan etnik Rohingya. – MYNEWSHUB.CC

    Subjects:

  • No Comment to " Apa Relevan Halau Rohingya Ke Bangladesh? "