• Anggota AADK Cedera Dilibas Parang

    Published: Monday, 18 September 2017
    A- A+

    TANAH MERAH: Seorang anggota Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) cedera di perut selepas diserang dengan parang oleh penagih dadah dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Bukit Kechik, Bukit Panau, di sini, kelmarin.

    Dalam kejadian jam 8.30 pagi, mangsa berusia 40 tahun cedera ringan di perut sebelum dibawa ke Hospital Tanah Merah (HTM) untuk rawatan lanjut.

    Mangsa dilaporkan stabil manakala suspek yang berusia 26 tahun ditahan polis untuk siasatan lanjut.

    Ketua Polis Daerah Tanah Merah Deputi Superintendan Suzaimi Mohamad berkata, beberapa hari sebelum kejadian, AADK membuat serbuan dan cuba menahan suspek namun diugut dengan sabit sebelum lelaki itu melarikan diri.

    “Semalam (kelmarin), AADK bersama polis sekali lagi ke rumah suspek untuk menahannya. Sebaik tiba, kami masuk ke rumah dan mendapati suspek berada di dalam bilik.

    “Kami beberapa kali mengetuk pintu bilik namun suspek enggan membukanya dan polis memecahkan pintu berkenaan sebelum lelaki itu bertindak agresif dengan menendang anggota AADK sambil melibas parang yang terkena perut mangsa,” katanya.-myMetro

    Subjects:

  • No Comment to " Anggota AADK Cedera Dilibas Parang "