• Akta Pendidikan Perlu Dipinda, Masukkan Pendaftaran Sekolah Tahfiz - Ahmaf Zahid

    Published: Tuesday, 19 September 2017
    A- A+

    PUTRAJAYA: Akta Pendidikan 1996 (Akta 550) disyorkan dipinda bagi membolehkan pendaftaran institusi pendidikan Islam swasta termasuk sekolah tahfiz swasta tertakluk di bawah akta itu dengan persetujuan kerajaan-kerajaan negeri.

    Cadangan itu adalah langkah proaktif yang dikemukakan dalam mencari jalan terhadap isu-isu berkaitan sekolah tahfiz termasuk isu keselamatan memandangkan pengurusan sekolah-sekolah itu kini berada di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.

    Syor yang dikemukakan pada Mesyuarat jawatankuasa peringkat tinggi (HLC) mengenai Pasukan Petugas Khas Sekolah-sekolah Tahfiz yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di sini hari ini melihat keperluan bagi menambah baik Akta 550 untuk penguatkuasaan ke atas sekolah-sekolah tahfiz yang lebih baik.

    "Demi kepentingan bersama, saya berharap mereka (kerajaan negeri) bersetuju," kata Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri kepada pemberita selepas mesyuarat itu di Perdana Putra, hari ini.

    "Kita prihatin masalah ini biarpun di bawah bidang kuasa negeri tetapi kerajaan pusat ambil kepedulian kerana kita tidak boleh melihat adanya ketidakpedulian oleh maahad tahfiz," katanya.

    Mesyuarat yang mengemukakan beberapa syor untuk isu-isu sekolah tahfiz itu turut dihadiri tujuh menteri kabinet antaranya Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom serta Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun.

    Ahmad Zahid berkata Jamil Khir diberi tanggungjawab untuk berhubung dengan kerajaan-kerajaan negeri bagi membincangkan cadangan itu.

    "Kita berhubung dengan kerajaan-kerajaan negeri terlebih dahulu sebelum kita meminda akta itu," katanya.

    Ahmad Zahid berkata syor-syor mesyuarat HLC berkenaan akan dikemukakan pada Mesyuarat Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Islam (MKI) yang akan dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini yang turut dihadiri wakil-wakil kerajaan negeri.

    Tambahnya syor-syor itu akan turut dibentangkan dalam mesyuarat Kabinet esok.

    Katanya ketika ini terdapat 941 maahad tahfiz swasta yang berdaftar dengan Persatuan Madrasah Tahfiz Al-Quran Malaysia, melibatkan 9,470 guru dan lebih 150,000 pelajar.

    Bagaimanapun, katanya, hanya 612 daripadanya berdaftar dengan Kementerian Pendidikan dan pihak berkuasa negeri kerana khuatir maahad tahfiz mereka akan diambil alih.

    "Pendaftaran maahad tahfiz akan diselaraskan antara kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan supaya tidak timbul soal salah sangka pengambilalihan dan pertindihan kuasa antara kedua-dua pihak," katanya.

    Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata mesyuarat itu turut mencadangkan agar kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri bertanggungjawab secara bersama menyelaras pentadbiran dan menyalurkan bantuan kewangan, jika perlu.

    Selain itu, katanya, pembentukan kerangka kriteria kelulusan penubuhan dan pengurusan maahad tahfiz di seluruh negara turut disyorkan dengan spesifikasi piawaian ditentukan pihak berkuasa tempatan (PBT), Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) dan agensi-agensi berkaitan.

    Turut dicadangkan, premis maahad tahfiz, sekolah agama, rumah anak yatim, rumah orang tua dan pusat asuhan kanak-kanak harus mematuhi piawaian keselamatan, katanya.

    "Kita juga akan menggalakkan penubuhan pasukan bomba sukarela di premis-premis tersebut," katanya.

    Di samping itu, kata Ahmad Zahid, Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), JBPM, PBT dan Malaysian Association of Facility Management akan mengadakan kempen kesedaran keselamatan secara besar-besaran di semua premis terbabit.

    Pasukan petugas khas itu ditubuhkan bagi menyelaras keselamatan sekolah tahfiz susulan insiden kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Kuala Lumpur pada Khamis lepas yang meragut 23 nyawa termasuk 21 pelajar. Ahmad Zahid berkata sejak tahun 1989 hingga insiden terbaharu itu, sebanyak 39 kebakaran maahad tahfiz telah berlaku melibatkan 56 kematian dengan 54 daripadanya adalah pelajar. Tambahnya, mesyuarat HLC itu turut bersetuju menubuhkan sebuah jawatankuasa penyelarasan yang bersifat kekal bagi memantau pengurusan Sekolah Agama Rakyat (SAR), maahad tahfiz dan pondok-pondok agama di seluruh negara, termasuk aspek penambahbaikan piawaian keselamatan sedia ada.

    Ahmad Zahid berkata Jabatan Kemajuan Agama Islam (Jakim) yang merupakan urusetia kepada MKI akan turut bertanggungjawab sebagai urusetia jawatankuasa itu. -BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Akta Pendidikan Perlu Dipinda, Masukkan Pendaftaran Sekolah Tahfiz - Ahmaf Zahid "