• Ajal Kawal Lalu Lintas Lokasi Pemasangan Paip

    Published: Tuesday, 5 September 2017
    A- A+

    Lelaki berusia 60 tahun yang mengawal lalu lintas di lokasi pemasangan paip berdekatan lampu isyarat Jalan Simpang Jeram, Muar Johor maut dilanggar kereta 12.30 tengah malam tadi.

    Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Zaharudin Rasip berkata, mangsa dikenali sebagai Ibrahim Salim, 60, pekerja syarikat kontraktor dirempuh Toyota Camry yang dipercayai hilang kawalan dan mengakibatkan mangsa parah di kepala meninggal dunia di tempat kejadian.

    Beliau berkata,kejadian itu turut mengakibatkan dua rakan sekerjanya, Chan Hong Guan, 33, dan Mohd Zulzakwan Mohd Hasni, 23, cedera di kepala dan anggota badan.

    "Pemandu kenderaan terbabit yang berusia 40 tahun parah dan berada dalam keadaan kritikal selepas keretanya melanggar sebuah jentolak yang melakukan kerja pemasangan paip berkenaan.

    "Siasatan awal mendapati kereta dipandu seorang lelaki dari arah bandar Muar menuju ke Bakri dipercayai hilang kawalan.

    "Akibat kejadian itu, kereta terbabit melanggar mangsa yang sedang mengawal kenderaan kerana terdapat projek menanam paip di kawasan terbabit" katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

    Zaharudin berkata, kawasan kemalangan adalah jalan lurus dan mempunyai lampu isyarat yang berfungsi dengan baik.

    Katanya lagi, siasatan lanjut sedang dilakukan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.-myMetro

    Subjects:

  • No Comment to " Ajal Kawal Lalu Lintas Lokasi Pemasangan Paip "