• Ajal Dihempap Muatan Batu

    Published: Wednesday, 6 September 2017
    A- A+

    Seorang lelaki maut dihempap batu selepas lori muatan batu yang dipandunya terbalik di tapak kuari Gunong, Bachok, hari ini.

    Kejadian jam 1.30 tengah hari itu, mangsa, Mohd Suhairi Daud, 29, maut di lokasi kejadian akibat kecederaan di kepala.

    Mangsa memandu lori muatan batu untuk turun bukit di kawasan kuari berkenaan sebelum kenderaan itu mahu terbalik.

    Lelaki itu kemudian terjun daripada lori sebelum dia dihempap batu besar dan pada masa sama kenderaan itu terbalik.

    Isterinya, Nur Ainiha ismail, 27, berkata, dia mendapat tahu kejadian itu pada jam 3 petang selepas rakan suami datang ke rumah mereka di Padang Kala, Melor.

    Katanya, sebaik tahu, dia terus ke lokasi kejadian dan terkejut mendapati suaminya sudah meninggal dunia.

    "Sebelum keluar rumah pada 7.30 pagi, kami sempat bersalaman dan suami ceria seperti biasa.

    "Saya reda dengan kejadian ini dan akan membesarkan dua anak kami, Nur Amelia Salwa, 7, dan Nur Adelia Syafika, 3," katanya ketika ditemui di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian, di sini, hari ini.

    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Bachok Deputi Superintendan Nik Aminuddin Raja Abdullah mengesahkan kejadian itu.-myMetro

    Subjects:

  • No Comment to " Ajal Dihempap Muatan Batu "