• Afrika Selatan, Senegal Diarah Main Semula

    Published: Thursday, 7 September 2017
    A- A+

    PARIS: Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) mengarahkan aksi kelayakan Piala Dunia antara Afrika Selatan dan Senegal diadakan semula selepas pengadil digantung kerana terbabit dengan kegiatan mengatur perlawanan.

    Perlawanan pada November 2016 itu akan diadakan semula pada November depan.

    Dalam aksi pada November 2016 itu, Afrika Selatan menewaskan Senegal 2-1 selepas pengadil dari Ghana, Joseph Lamptey (gambar) menghadiahkan sepakan penalti kontroversi.

    Lamptey pada awalnya digantung selama tiga bulan oleh Konfederasi Bolasepak Afrika (CAF) kerana menghadiahkan penalti biarpun bola tidak terkena tangan dengan FIFA selepas itu mengenakan hukuman penggantungan seumur hidup.

    Berita mengenai perlawanan itu yang akan diadakan semula jelas memberi suntikan semangat buat Senegal yang kini di tangga ketiga, satu mata di belakang Cape Verde dan Burkina Faso dalam Kumpulan D kempen kelayakan zon Afrika dengan baki dua perlawanan.

    Hanya juara kumpulan akan mengesahkan tempat secara automatik ke pusingan akhir Piala Dunia 2018 di Russia.

    FIFA menjelaskan keputusan untuk mengadakan semula perlawanan itu hadir selepas Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) mengesahkan hukuman penggantungan seumur hidup terhadap Lamptey.

    “Perlawanan itu akan diadakan semula pada November 2017 dengan tarikh sebenar akan ditentukan dalam masa terdekat ini,” menurut kenyataan FIFA.-AFP

    Subjects:

  • No Comment to " Afrika Selatan, Senegal Diarah Main Semula "