• Ada Sekolah Di Parlimen Sibuti Sudah Dimakan Anai-Anai

    Published: Wednesday, 20 September 2017
    A- A+

    MIRI : Ahli Parlimen Sibuti Datuk Ahmad Lai Bujang telah mengenalpasti 10 buah sekolah rendah usang di kawasannya untuk dinaik taraf dan dibaik pulih dengan segera.

    Memetik laporan Utusan Borneo, Ahmad Lai berkata proses baik pulih sekolah akan dimulakan tahun hadapan dan dilaksanakan secara berperingkat mengikut keutamaan.

    "10 sekolah rendah terbabit sudah berusia, usang dan kritikal serta perlu dibaik pulih segera.

    "Struktur bangunan sekolah ini kebanyakannya dimakan anai-anai dan tidak selamat digunakan, ia boleh mengancam keselamatan guru dan pelajar,” katanya.

    Menurut beliau, antara sekolah tersenarai uzur ialah SK Niah, Sekolah Rancangan Sepupok, SJK (C) Chung Hua Sungai Lumut dan beberapa lagi.

    “Beberapa sekolah rendah juga sering dilanda banjir kerana terletak di kawasan rendah, cadangan kita agar sekolah ini dinaik taraf atau dibangunkan semula di kawasan tinggi,” jelasnya.

    Sementara itu, kerajaan negeri berhasrat menggunakan khidmat kewangan Bank Pembangunan Sarawak (DBOS) terlebih dahulu bagi menaik taraf sekolah uzur di luar bandar.

    “Kita memuji inisiatif kerajaan negeri menggunakan dana sendiri membaik pulih dan menaik taraf sekolah uzur di luar bandar bermula tahun depan,” jelas Ahmad Lai. - Sarawakiana
  • No Comment to " Ada Sekolah Di Parlimen Sibuti Sudah Dimakan Anai-Anai "