• Abang Bomba Bermandi Peluh Selamatkan Lelaki Obes

    Published: Wednesday, 27 September 2017
    A- A+

    BANGI: Sepasukan anggota Bomba dan Penyelamat (BBP) Bangi bermandi peluh dalam usaha menyelamatkan seorang lelaki obes seberat lebih 150 kilogram yang mengalami bengkak pada kaki kanannya.

    Dalam kejadian jam 11.30 malam kelmarin, mangsa, Muhammad Ridzwan Shah Mat Desa, 51, ditemui dalam keadaan terbaring di kafe Kolej Dato Onn Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini.

    Beberapa rakannya terpaksa meminta bantuan anggota bomba selepas mangsa mengadu mengalami kesakitan pada bahagian kaki kanannya yang membengkak hingga bertukar kebiruan.

    Komander Operasi BBP Bangi, Mohd Shahir Mohd Sukri berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 11.34 malam dan sepasukan enam anggota bergegas ke lokasi.

    “Setibanya di lokasi didapati seorang lelaki terbaring di atas katil dalam keadaan kesakitan,” katanya.

    Menurutnya, mangsa tidak dapat berdiri dan berjalan kerana kesakitan pada kaki kanannya.

    “Anggota Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS) melakukan pemeriksaan kesihatan pada mangsa.

    “Anggota bomba kemudian mengangkat dan berusaha mengalihkan mangsa dari tilam ke atas pengusung khas untuk dibawa ke hospital,” katanya.

    Dia berkata, anggota bomba mengambil masa lebih setengah jam untuk membawa mangsa keluar dari biliknya.

    “Mangsa kemudian dibawa ke Hospital Serdang untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya.-myMetro

    Subjects:

  • No Comment to " Abang Bomba Bermandi Peluh Selamatkan Lelaki Obes "