• 8 Jam Gali Liang Makam

    Published: Tuesday, 12 September 2017
    A- A+

    ALOR SETAR: Lapan petugas Makam Diraja Langgar menyifatkan tanggungjawab menggali liang makam bagi Almarhum Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah, sebagai penghormatan besar buat mereka.

    Pembantu Awam Makam Diraja Langgar, Daud Shahidan, 54, selaku penyelaras berkata, lapan petugas makam dibantu 20 kakitangan Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) memikul tanggungjawab itu.

    Katanya, tugas menggali bermula jam 6 petang semalam sejurus mendapat arahan bahagian protokol Istana Anak Bukit sehingga selesai kira-kira jam 2 pagi.

    "Makam baginda dipilih di kedudukan tengah antara makam isteri baginda iaitu Almarhumah Sultanah Bahiyah dan adinda baginda, Almarhum Tunku Annuar Sultan Badlishah manakala jenazah dijangka dimakamkan kira-kira jam 4 petang ini," katanya.

    Daud yang sudah 31 tahun bertugas di makam terbabit, bekerja tanpa henti bersama petugas lain sejak petang semalam sehingga proses pemakaman selesai.

    Sebaik selesai proses menggali makam, katanya, pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) perlu mendirikan khemah, pentas dan memasang kerusi serta permaidani untuk hadirin khususnya pihak kenamaan dan kerabat.

    "Kami perlu menyiapkan kerja ini sebelum jenazah diarak menggunakan pedati ke makam kira-kira jam 2.30 petang," katanya.

    Jenazah Almarhum Sultan Abdul Halim dijadual diiring dari Istana Anak Bukit melalui Lebuhraya Darul Aman dan Jalan Tun Razak sebelum melalui Jalan Langgar ke Makam Diraja Langgar.

    Sementara itu, tinjauan di Makam Diraja Langgar, mendapati kakitangan JKR serta petugas makam sibuk menurunkan 1,200 beg plastik mengandungi tanah dari lori untuk proses pemakaman. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " 8 Jam Gali Liang Makam "