• 6 Gadis Jadi 'Adik-Beradik Segera' Dalam Majlis Kahwin

    Published: Wednesday, 20 September 2017
    A- A+


    SYDNEY: Bercakap tentang kebetulan, bukan satu, bukan dua tetapi enam wanita muncul di sebuah majlis perkahwinan di Australia memakai pakaian sama, menyebabkan gambar mereka yang dimuat naik di media sosial tular.

    Salah seorang 'mangsa', Debbie Speranza, menyuarakan tentang kejadian itu yang dianggap lucu di Facebook pada Ahad.

    "Apa yang peliknya?" tulis Speranza, pada gambar enam wanita memakai dress sama potongan dan warna bersama pengantin perempuan, Julia Mammone yang bertugas sebagai guru.

    Satu lagi posting di laman Facebook jenama fesyen Australia Forever New dibaca: "Anda memang harus mula membuat satu daftar pengantin supaya pelanggan boleh memeriksa sama ada orang lain telah membeli salah satu pakaian anda untuk acara yang sama."

    Posting kedua Speranza telah mendapat lebih dari 46,000 reaksi dan hampir 1,500 perkongsian.
    Dress Debbie Lace itu dijual pada harga A$159.99 (RM538) di laman web Forever New.

    Mammone, yang bercakap kepada The Daily Telegraph menggambarkan pertembungan enam wanita berbaju sama itu sebagai sesuatu yang sangat lucu.

    "Pada mulanya kami berpandangan sesama sendiri, tak tahu sama ada mereka mahu gelak atau pulang tukar baju," katanya.

    "Ia adalah mimpi ngeri setiap gadis, apa lagi yang boleh anda lakukan?."

    Menurut The Daily Telegraph, perkahwinan Mammone dengan suaminya, seorang jurulatih peribadi, Dominic, berlangsung di Le Montage di Lilyville pada Sabtu.

    Speranza berkata dia mula sedar tentang kejadian itu ketika masuk ke majlis resepsi dan melihat sepupunya memakai pakaian yang sama.

    "Kami mula ketawa, tetapi kemudian seorang lain muncul... kemudian satu lagi... dan satu lagi. Tetamu di situ kira-kira 200 orang," katanya.

    "Ada antara mereka nampak sedikit 'ahhhhh' malu, tapi kemudian kami semua melihatnya sebagai sesuatu yang kelakar. Kami ibarat adik-beradik segera," katanya.

    Dia juga menafikan situasi yang berlaku secara kebetulan itu sengaja dibuat untuk mencari publisiti. - The Straits Times/Asia News Network

    Subjects:

  • No Comment to " 6 Gadis Jadi 'Adik-Beradik Segera' Dalam Majlis Kahwin "