• 5 Remaja Didakwa Masukkan Dadah

    Published: Thursday, 28 September 2017
    A- A+
    Foto Muhd Yusni Ariffin


    KUALA LUMPUR: Lima remaja bawah umur termasuk dua yang didakwa membunuh dalam kes kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Datuk Keramat, didakwa memasukkan syabu dan ganja dalam badan di Mahkamah Majistret Kanak-Kanak.

    Tiga daripada mereka yang masing-masing berusia 12, 16 dan 17 tahun mengaku tidak bersalah melakukan perbuatan itu, manakala dua lagi tertuduh yang masing-masing berusia 16 tahun, mengaku salah.

    Peguam bela Noor Svetlana Mohd Noor Nordin, ketika ditemui, berkata tertuduh yang berusia 16 dan 17 tahun yang diwakilinya adalah adik beradik.

    Svetlana berkata, Majistret Zilfinaz Abbas tidak membenarkan kedua beradik itu diikat jamin atas faktor keselamatan.

    Bagaimanapun peguam itu berkata, seorang lagi anak guamnya yang berusia 12 tahun dibebaskan dengan ikat jamin sebanyak RM3,000 dan diikat jamin oleh ibu saudaranya.

    "Anak guam saya mengaku tidak bersalah kerana laporan patologi belum dikeluarkan.

    "Saya memohon anak guam dijamin mengikut Seksyen 387 Kanun Acara Jenayah kerana ia adalah kesalahan yang boleh dijamin.

    "Semua anak guam diwakili oleh ahli keluarga dalam prosiding tadi," katanya.

    Mahkamah kemudian menetapkan pada 28 November ini sebutan semula kes bagi laporan ujian air kencing.

    Sementara bagi tertuduh yang mengaku salah, mahkamah menetapkan tarikh sama bagi mendapatkan laporan akhlak. - BH Online 

    Subjects:

  • No Comment to " 5 Remaja Didakwa Masukkan Dadah "