• 3,785 individu ditahan dalam Ops Perjudian Haram, lebih suku juta wang tunai dirampas

    Published: Friday, 29 September 2017
    A- A+


    SHAH ALAM - Polis Selangor berjaya menahan seramai 3,785 individu melibatkan rampasan wang tunai RM288,380 hasil Ops Perjudian Haram di negeri ini sepanjang tempoh Januari hingga Ogos tahun ini.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmad berkata, kejayan itu adalah hasil 3,132 serbuan terhadap premis judi dalam talian bagi membanteras sindiket perjudian.

    "Dalam tempoh sama, 2,313 daripada kes tersebut telah dituduh di mahkamah.

    "Polis akan terus memantau pusat hiburan keluarga berlesen di bawah Enakmen Hiburan Selangor 1995 seterusnya mengambil tindakan di bawah Akta Rumah Judi Terbuka 1953 sekiranya pemilik dikesan menjalankan kegiatan perjudian," katanya dalam kenyataan akhbar sebentar tadi.

    Katanya, sehingga 26 September lalu sebanyak 137 lesen Pusat Hiburan Keluarga telah diluluskan di Selangor.

    Ujarnya, tindakan itu juga seiring dengan arahan yang dikeluarkan Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim bagi memastikan pusat judi haram ini berjaya dilupuskan polis.

    "Kita tidak akan berkompromi dengan mana-mana pusat hiburan keluarga ini yang dikesan menjalankan aktiviti perjudian walaupun mereka mempunyai lesen yang sah.

    "Sehubungan itu, sebarang maklumat boleh disalurkan terus ke Bilik Gerakan Cawangan Perjudian dan Maksiat Jabatan Siasatan Jenayah Selangor di talian 03-5514 5168," tegasnya. - K!ONLINE

    Subjects:

  • No Comment to " 3,785 individu ditahan dalam Ops Perjudian Haram, lebih suku juta wang tunai dirampas "