• 36 Terima Biasiswa Tun Taib

    Published: Thursday, 21 September 2017
    A- A+
    KUCHING, 20 Sept (Bernama) -- Empat pelajar pascasiswazah, iaitu masing-masing dua penuntut doktor falsafah (PhD) dan sarjana dalam bidang antara 36 pelajar universiti yang menerima Biasiswa Yayasan Sarawak Tun Taib hari ini.

    Mereka yang merupakan sebahagian daripada kumpulan pertama penerima, menerima biasiswa itu daripada Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud dalam satu majlis yang berlangsung di Dewan Besar, Astana Negeri, di sini.

    Dua pelajar terbabit ialah Bernard anak Maringgal yang mengikuti pengajian dalam bidang kejuruteraan proses pertanian di Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Collin Tan Choon Lin, pelajar Sains Komputer (Keselamatan Siber) di Universiti Malaysia Sarawak (Unimas).

    Dua pelajar sarjana pula ialah Anysia Hedy Ujat (Patologi Tumbuhan) dan Thamaratul Izzah Azman (Sistem Maklumat), kedua-duanya di UPM.

    Penerima lain merangkumi ijazah sarjana muda dalam bidang kejuruteraan sivil dan pembinaan, perdagangan (perakaunan), kejuruteraan kimia, kejuruteraan mekanikal, perdagangan antarabangsa, bioteknologi, sains komputer dan elektrikal dari Curtin University Malaysia Sarawak, Swinburne University of Technology Sarawak, Kolej Universiti Teknologi Sarawak, Universiti Teknologi MARA Sarawak dan Unimas.

    Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Openg ketika berucap di majlis itu, berkata dalam usaha menggerakkan ekonoi digital, Sarawak perlu membangunkan modal insannya dalam disiplin pengetahuan yang baharu,

    Beliau berkata Yayasan Sarawak akan terus memberikan biasiswa kepada pelajar yang layak tanpa mengira bangsa, agama dan latar belakang untuk menyambung pengajian di dalam dan luar negara.

    Beliau berharap pelajar ijazah pertama akan menyambung pengajian mereka ke peringkat pascasiswazah yang memberi peluang mereka melakukan penyelidikan yang dapat memberi manfaat kepada usaha ekonomi digital Sarawak. -- BERNAMA

  • No Comment to " 36 Terima Biasiswa Tun Taib "