• 3 Penjual Telur Penyu Dihukum Penjara

    Published: Wednesday, 6 September 2017
    A- A+


    SANDAKAN – Mahkamah Sesyen di sini hari ini menjatuhi hukuman penjara terhadap tiga lelaki warga Filipina atas kesalahan menjual telur penyu secara haram di kawasan Bandar Sandakan pada 7 Ogos lepas.

    Abdul Rasah, 60, Alkubar Hamjan, 33, dan Abdul Rahman Ebnul, 34, masing-masing dihukum penjara setahun; 14 bulan; dan 20 bulan bermula hari ini.

    Hakim Ummu Kalthom Abdul Samad menjatuhi hukuman itu selepas ketiga-tiga tertuduh mengaku salah dan mengambil kira faktor kepentingan awam serta implikasi penjualan telur penyu boleh menyebabkan kepupusan spesies penyu hijau.

    Beliau turut memerintahkan setelah selesai menjalani hukuman, Abdul, Alkubar dan Abdul Rahman yang tidak memiliki dokumen pengenalan diri, diserahkan kepada Jabatan Imigresen.

    Pertuduhan dilakukan mengikut Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997 dan boleh dikenakan denda tidak kurang daripada RM50,000 dan tidak lebih daripada RM250,000 dan penjara tidak kurang daripada setahun dan tidak lebih daripada lima tahun.

    Terdahulu, Pengawai Pendakwa Raya Jabatan Hidupan Liar Sabah Abdul Karim Dakong meminta mahkamah memberi hukuman dengan mengambil kira kepentingan awam dan sebagai pengajaran kepada mereka yang menjual telur penyu secara haram khususnya di Bandar Sandakan.

    Abdul, Alkubar dan Abdul Rahman ditahan dalam satu operasi bersepadu oleh Jabatan Hidupan Liar Sandakan, Pasukan Polis Marin dan Unit Penguat Kuasa Majlis Perbandaran Sandakan.

    Abdul ditahan pada 11.30 pagi di Jalan Prayer Bandar Sandakan dan Alkubar ditahan di kawasan sama pada 12.15 tengah hari masing-masing bersama 23 dan 83 biji telur penyu, manakala Abdul Rahman pula ditahan pada 11.30 pagi di hadapan hentian bas Wisma Khoo Jalan Buli Sim-Sim bersama 130 biji penyu. – BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " 3 Penjual Telur Penyu Dihukum Penjara "