• 3 Negara, 41 Bandar Raya Bergabung Bida Anjur Piala Dunia FIFA 2026

    Published: Friday, 8 September 2017
    A- A+
    LOS ANGELES: Buat pertama kali, tiga negara Amerika Utara dan 41 bandar raya mereka bergabung menawar diri secara rasmi hari ini untuk menjadi tuan rumah bersama bola sepak Piala Dunia 2026.

    Tiga negara terbabit iaitu Mexico, Kanada dan Amerika Syarikat (AS) telah pun menyerahkan bidaan mereka kepada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) untuk bersaing dengan Maghribi yang turut menawarkan diri sebagai tuan rumah lebih awal.

    Setakat ini 41 bandar raya dalam kalangan tiga negara terbabit telah pun menyatakan persetujuan, manakala tiga bandar raya lain iaitu San Diego, Green Bay (AS) dan Calgary (Kanada) gagal berbuat demikian mengikut masa yang ditetapkan.

    Bagaimanapun daripada 41 bandar raya itu, gabungan tiga negara terbabit bercadang untuk menyerahkan antara 20 hingga 25 nama stadium di 12 bandar raya sahaja dalam senarai terakhir bidaan mereka nanti. Ini bermakna 41 bandar raya yang terpilih masih terpaksa bersaing sesama sendiri untuk meyakinkan negara masing-masing.

    Sebagai rekod, skala penganjuran lebih besar untuk Piala Dunia 2026 terpaksa digunakan berikutan ini kali pertama format 48 pasukan akan diguna-pakai berbanding hanya 32 pasukan sebelum ini termasuk yang terakhir dalam Piala Dunia 2018 di Rusia dan 2022 di Doha, Qatar nanti.

    “Kami semua begitu berdebar menerima persetujuan daripada bandar raya yang berminat terutama komitmen yang ditunjukkan mereka. Bandar raya yang tidak terpilih menjadi venue akan dipertimbangkan pula untuk menjadi pusat latihan pasukan yang bertanding,” kata pengarah eksekutif jawatankuasa bidaan, John Kristick.

    Mengikut perancangan bidaan tersebut, 60 perlawanan akan diadakan di AS, manakala Kanada dan Mexico masing-masing mengendalikan 10 perlawanan. Bagi perlawanan peringkat kalah mati hingga ke final, AS akan menjadi tuan rumah sepenuhnya.

    AS pernah menjadi tuan rumah Piala Dunia pada 1994 dan berkemungkinan besar beberapa stadium sama yang digunakan ketika itu akan digunakan sekali lagi sebagai venue perlawanan pada 2026 nanti termasuk Pasadena Rose Bowl, Stadium Los Angeles dan Stadium AT&T. - AFP


    Subjects:

  • No Comment to " 3 Negara, 41 Bandar Raya Bergabung Bida Anjur Piala Dunia FIFA 2026 "