• 20 Kali Jambatan Tenggelam Tahun Ini

    Published: Wednesday, 13 September 2017
    A- A+

    GUA MUSANG: Termasuk semalam, sudah 20 kali jambatan sementara Kampung Pulau Setelu, di sini, tenggelam sepanjang tahun ini akibat limpahan air Sungai Nenggiri.

    Jambatan itu tenggelam sejak tengah malam sehinggalah pagi disebabkan hujan lebat bermula awal malam dan limpahan mula surut sepenuhnya kira-kira 9 pagi.

    Pengguna jambatan itu, Said Yusoff, 54, berkata, dia sudah lali dengan keadaan jambatan berkenaan yang mudah dinaiki air apabila hujan lebat.

    “Saya melalui jambatan ini yang menghubungkan Jalan Gua Musang-Jeli untuk ke tempat kerja dalam keadaan air melimpah ke atas jambatan tetapi kenderaan masih boleh melaluinya.

    “Namun kita tetap berjaga-jaga kerana arus deras boleh menyebabkan pelbagai kemungkinan apatah lagi banyak sisa kayu tersangkut pada jambatan,” katanya di sini, semalam.

    Pentadbir Mukim Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, Ahmad Kamizi Jalil berkata, sudah 20 kali jambatan itu tenggelam tahun ini kerana hujan lebat.

    Katanya, penduduk kampung yang kerap menggunakan laluan itu juga sudah maklum mengenai keadaan jambatan itu dan akan sentiasa berjaga-jaga apabila hujan.

    “Cukup hujan lebat berterusan selama tiga jam, maka air sungai naik dan jambatan tenggelam. Penduduk sudah maklum namun kita berharap mereka tetap ambil langkah berhati-hati yang lebih serius.

    “Ini kerana selain tenggelam, banyak juga sisa kayu yang dihanyutkan arus tersekat pada jambatan berkenaan. Ia perlu dibersihkan dan kita bergotong royong dengan penduduk untuk itu,” katanya.-myMetro

    Subjects:

  • No Comment to " 20 Kali Jambatan Tenggelam Tahun Ini "