• 2 Tahun Isytihar Sarawak Bebas Rabies

    Published: Wednesday, 6 September 2017
    A- A+

    Sarawak terpaksa mengambil tempoh sekurang-kurangnya dua tahun pemerhatian bermula 1 Julai tahun ini sebelum mengisytiharkan negeri ini bebas daripada virus rabies, kata Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah.

    Memetik laporan The Star, Uggah berkata kerajaan negeri akan sentiasa memantau keadaan rabies dari semasa ke semasa meskipun sampel anjing yang diuji didapati negatif untuk virus tersebut.

    "Pihak kami sedang mengawasi keadaan dengan teliti dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar juga meneruskan usaha mendapatkan sampel daripada anjing di sekitar bandar untuk mengetahui sejauh mana penyebaran virus berlaku.

    "Kesemua sampel yang terbaru adalah negatif tetapi menurut Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO), ia mengambil masa dua tahun mengesahkan Sarawak bebas daripada wabak rabies," katanya

    Pada 22 Ogos, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri melaporkan bahawa sembilan sampel daripada anjing yang dihantar ke Institut Penyelidikan Veterinar di Ipoh telah disahkan negatif.

    Kesemua sampel adalah dari Betong, Sri Aman, Lubok Antu, Sarikei dan Sibu.

    Tambah Uggah, Zon Penampan juga telah diwujudkan dari Sarikei hingga Lubok Antu bagi mengekang penularan wabak rabies atau anjing gila.

    “Setakat ini, tiada petanda menunjukkan rabies merebak ke Lachau. Ia adalah bukti terakhir yang kita dapat," ujarnya. - Sarawakiana
  • No Comment to " 2 Tahun Isytihar Sarawak Bebas Rabies "