• 2 Pulau Hancur

    Published: Friday, 8 September 2017
    A- A+

    SAN JUAN (PUERTO RICO): Lapan maut di Saint Martin, manakala Barbuda dilanda kemusnahan selepas dibadai Taufan Irma - antara ribut Atlantik terkuat pada abad ini sebelum dibimbangi menghala ke Florida.

    Sekurang-kurangnya 10 orang dilaporkan terbunuh di empat pulau berasingan akibat Irma, yang disifatkan peramal cuaca Amerika Syarikat (AS) sebagai ribut Kategori Lima iaitu yang tertinggi untuk penarafan taufan negara itu.

    Antigua dan Barbuda paling terjejas teruk. Barbuda, yang mempunyai 1,800 penduduk ‘musnah sepenuhnya,’ dengan 90 peratus kediaman dilaporkan rosak serta seorang disahkan maut, kata Perdana Menteri Gaston Browne.

    Seorang lagi mangsa dilaporkan peluncur air maut ketika mengejar ombak besar di Barbados, manakala kerajaan Perancis berkata, sekurang-kurangnya dua orang mati di Saint Martin serta Saint Barthelemy, wilayahnya di Caribbean.

    Irma dengan kekuatan angin 300 kilometer sejam, dijangka membadai Florida pada Sabtu atau Ahad ini, menjadikannya taufan besar kedua melanda tanah besar AS dalam tempoh dua minggu.

    Walaupun kekuatan Irma ini boleh berubah dan ketepatan arah tidak menentu, ia dijangka kekal sekurang-kurangnya sebagai ribut Kategori Empat sebelum tiba di Florida.

    Sementara itu, dua lagi taufan terbentuk Rabu lalu. Taufan Katia yang melanda Teluk Mexico tidak dijangka memberi ancaman kepada AS, tetapi menurut peramal cuaca AS, taufan Jose yang berada kira-kira 1,610 kilometer dari kepulauan Lesse Antilles di Caribbean, dijangka turut mampu mengancam tanah besar AS.

    Ribut-ribut besar ini menyusul Taufan Harvey yang menyebabkan 60 terkorban dengan kerosakan harta benda dianggarkan sehingga AS$180 bilion (RM760 bilion) selepas membadai Texas dan Louisiana.

    Anggota pengurusan kecemasan Florida mula memindahkan penduduk sebagai persediaan menghadapi Irma, manakala pelancong diarahkan meninggalkan kawasan peranginan Florida Keys di selatan negara itu, kelmarin.-Reuters

    Subjects:

  • No Comment to " 2 Pulau Hancur "