• 2 Kanak-Kanak Lelaki Ditahan Disyaki Rogol Kanak-Kanak Perempuan 9 Tahun

    Published: Tuesday, 12 September 2017
    A- A+
    Gambar Hiasan
    LIMBANG: Polis menahan dua kanak-kanak lelaki selepas disyaki merogol seorang kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun di sebuah stor baja di Kampung Palas di sini semalam.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak, Datuk Dev Kumar berkata, kedua-dua kanak-kanak lelaki masing-masing berusia 10 dan 11 tahun itu dibawa ke Balai Polis Limbang untuk siasatan lanjut.

    Menurut beliau, kejadian itu terbongkar selepas ibu mangsa mencari anak perempuannya yang pergi bermain bersama dua kanak-kanak lelaki terbabit kira-kira pukul 7.10 petang.

    "Bagaimanapun, wanita itu terkejut apabila mendapati anak sedang terbaring di atas tikar tanpa pakaian dengan seorang kanak-kanak lelaki berada di atasnya dalam keadaan posisi seksual.

    "Wanita tersebut kemudian membawa anaknya pulang sebelum mendapati terdapat kesan darah pada bahagian kemaluan anaknya," katanya ketika dihubungi sebentar tadi.

    Mengulas lanjut, Dev memberitahu, ibu kanak-kanak perempuan berkenaan kemudian membuat laporan polis untuk tindakan selanjutnya.

    "Kanak-kanak perempuan tersebut telah dibawa ke Hospital Miri bagi menjalankan pemeriksaan lanjut.

    "Kes ini disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan atas kesalahan rogol," katanya. - K! ONLINE

  • No Comment to " 2 Kanak-Kanak Lelaki Ditahan Disyaki Rogol Kanak-Kanak Perempuan 9 Tahun "