• 2 Atlet Berbasikal Paralimpik Negara Dilanggar Lari

    Published: Thursday, 7 September 2017
    A- A+

    KUALA LUMPUR – Dua atlet berbasikal Paralimpik negara mengalami kecederaan serius dalam kemalangan membabitkan lima pelumba termasuk seorang jurulatih di Lebuh Raya Kuala Selangor (LATAR) sebentar tadi.

    Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Shapawi Ismail ketika dihubungi BH Sukan, berkata dua daripada atlet berkenaan mengalami kecederaan serius dan berkemungkinan patah kaki akibat rempuhan sebuah pacuan empat roda berhampiran susur keluar Batu Arang.

    Katanya, kejadian dipercayai berlaku pada kira-kira jam 11 pagi ketika sekumpulan tujuh pelumba berkenaan menjalani latihan dari Kuala Selangor dan dalam perjalanan pulang ke Kuala Lumpur.

    “Dua pemandu depan (pilot rider) yang membawa dua pelumba lain menggunakan basikal ‘tandem’ (basikal dinaiki berdua) mengalami kecederaan serius, mungkin patah kaki namun tertakluk kepada pemeriksaan lanjut di Hospital Sungai Buloh,” katanya.

    Ketika kejadian jelas Shapawi, dua basikal tandem berkenaan serta jurulatih berada di depan tiga lagi pelumba dan sebuah van pengiring apabila dipercayai dirempuh sebuah pacuan empat roda yang kemudiannya melarikan diri.

    Atlet berkenaan kata Shapawi kini mendapatkan rawatan lanjut dan beliau berharap keadaan mereka tidak serius. – BH Online.

    Subjects:

  • No Comment to " 2 Atlet Berbasikal Paralimpik Negara Dilanggar Lari "