• 152 Penduduk Awam Korban Serangan Tentera Syria, Russia

    Published: Thursday, 28 September 2017
    A- A+

    AMMAN: Jet tempur tentera Russia dan Syria membunuh sekurang-kurangnya 150 penduduk awam dan mencederakan puluhan lagi dalam masa seminggu pengeboman dalam serangan udara intensif di beberapa bahagian dikuasai pembangkang di barat laut Syria.

    Kempen pengeboman itu dilakukan selepas militan diketuai bekas cabang al-Qaeda di negara itu melancarkan serangan besar-besaran terhadap wilayah dikuasai kerajaan di utara Hama.

    "Kami menemui 152 mayat dan menyelamatkan 279 penduduk awam sejak kempen pengeboman Russia dan tentera rejim Presiden Bashar al-Asad," kata pekerja penyelamat kanan Pertahanan Sivil di Idlib, Salem Abu al Azem.

    Beliau menambah, usaha mengeluarkan mayat daripada runtuhan bangunan yang roboh dalam serangan udara masih diteruskan.

    Kementerian Pertahanan Russia berkata, ia menyerang kumpulan militan.

    Ia turut menafikan menyasarkan infrastruktur dan pusat perubatan untuk memaksa pemberontak menandatangani gencatan senjata yang akan mengukuhkan semula cengkaman Bashar ke atas negara itu.

    Pegawai pertahanan awam dan pekerja bantuan kemanusiaan lain mendokumenkan kemusnahan enam hospital, lima pusat pertahanan dan stesen jana elektrik dalam masa beberapa hari pertama kempen pengeboman selain serangan ke atas kem menempatkan penduduk awam yang kehilangan tempat tinggal. - Reuters

    Subjects:

  • No Comment to " 152 Penduduk Awam Korban Serangan Tentera Syria, Russia "