• 13 Tahun Berunding, Baru Setuju Jual Rumah Tengah Lebuh Raya

    Published: Wednesday, 20 September 2017
    A- A+

    SHANGHAI: Selepas 13 tahun berunding, satu keluarga di sini akhirnya bersetuju menjual rumah mereka yang berada di tengah lebuh raya sejak 2004.

    Xu, 87, dan lapan ahli keluarganya mengucapkan selamat tinggal kepada rumah mereka di pinggir Shanghai pada 15 September lalu.

    Keluarga itu bersetuju berpindah selepas pemaju berjanji memberi empat rumah flat baru dan wang tunai 2.3 juta yuan (RM1.46 juta) pada bulan lalu.

    Rumah tiga tingkat itu dirobohkan oleh pekerja dalam tempoh 90 minit pada awal pagi kelmarin.

    Xu menerima notis untuk merobohkan rumah berkenaan pada 2003 oleh kerajaan tempatan untuk pembinaan lebuh raya yang baru.

    Bagaimanapun, Xu dan keluarganya enggan berpindah kerana tidak berpuas hati dengan pampasan yang ditawarkan.

    Rumah seperti ini dikenali sebagai ‘rumah paku’ di China apabila ia menjadi satu-satunya bangunan usang di tengah pembangunan.

    Semua kediaman di sekitar rumah Xu dirobohkan untuk membina lebuh raya empat laluan.

    Selama 14 tahun, rumah milik Xu itu berdiri kukuh di tengah Lebuh Raya Hu Ting Bei.

    Keadaan itu menyebabkan jalan berkenaan terpaksa dikecilkan kepada dua laluan dan melingkari rumah berkenaan yang sering menyebabkan kesesakan.

    Seorang ahli keluarga Xu, Zhang Xinguo berkata, tinggal di rumah yang terletak di tengah lebuh raya bukan mudah dan mereka tidak sabar untuk berpindah.

    “Saya melihat kemalangan jalan raya sebanyak tiga kali dan ada sebuah teksi yang melanggar dinding rumah ini,” katanya.-Agensi

    Subjects:

  • No Comment to " 13 Tahun Berunding, Baru Setuju Jual Rumah Tengah Lebuh Raya "