• 11 Inisiatif Tingkat Imej Industri Keselamatan

    Published: Thursday, 7 September 2017
    A- A+


    KUALA LUMPUR – Mulai 1 Januari depan, semua syarikat perkhidmatan keselamatan wajib menghantar pengawal keselamatan peribadi untuk menjalani program Pengawal Keselamatan Bertauliah (CSG) sebelum dipertimbangkan untuk memperbaharui permit membawa senjata api.

    Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata langkah tersebut bagi memastikan syarikat berkenaan tidak sewenang-wenangnya menyewa senjata api kepada mana-mana individu yang tidak terlatih atas dasar sebagai pengawal keselamatan peribadi.

    Menurutnya, program CSG merupakan latihan khas untuk pengawal keselamatan peribadi serta ditauliah polis dan Kementerian Dalam Negeri (KDN).

    Beliau berkata ia adalah antara 11 inisiatif baharu dilaksanakan oleh KDN dalam usaha meningkatkan kualiti dan imej industri kawalan keselamatan negara mengharungi cabaran masa depan.

    Ahmad Zahid, yang juga Menteri Dalam Negeri, mengumumkan inisiatif tersebut ketika berucap pada majlis perjumpaan Timbalan Perdana Menteri Bersama Ahli Lembaga Pengarah dan Pengurusan Syarikat Kawalan Keselamatan di sini, hari ini.

    Beliau berkata inisiatif tersebut melibatkan 800 syarikat di bawah Persatuan Perkhidmatan Kawalan Keselamatan Malaysia (PPKKM).
    Menurutnya, inisiatif baharu lain yang akan dilaksanakan oleh KDN tahun depan ialah melonggarkan peraturan mewajibkan syarikat keselamatan membuat pembaharuan lesen setiap tahun kepada dua tahun.

    “KDN akan membuat pindaan kepda Seksyen 3 (4) Akta Agensi Persendirian 1971 berhubung tempoh sah laku lesen Agensi Persendirian milik syarikat keselamatan yang pada masa ini tamat pada 31 Dis setiap tahun,”katanya.

    Selain itu, katanya, inisiatif lain melibatkan tindakan untuk mewartakan pakaian seragam pengawal keselamatan, aksesori pakaian seragam dan logo PPKKM.
    “Deraf pewartaan sedang dalam penelitian Jabatan Peguam Negara dan akan dikuatkuasakan setelah semakan oleh jabatan itu,” katanya.

    Ahmad Zahid berkata beliau akan membawa ke mesyuarat kabinet Rabu depan sebahagian daripada inisiatif yang hendak dilaksanakan itu bagi dibincangkan lebih lanjut.

    Antara inisiatif lain, katanya, KDN dengan kerjasama Bank Negara Malaysia (BNM), polis, Persatuan Bank-Bank dalam Malaysia dan Persatuan Bank-Bank Islam Dalam Malaysia telah merangka garis panduan berhubung kawalan keselamatan di institusi perbankan yang akan mula dikuatkuasakan pada 1 Januari depan.

    Menurutnya, dua lagi inisiatif yang akan bermula bulan depan ialah KDN dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) akan mengadakan operasi ujian saringan air kencing ke atas pengawal keselamatan pada bila-bila masa serta orang ramai boleh membuat semakan status dan rekod syarikat kawalan keselamatan dalam talian.

    Empat inisiatif lagi yang diumumkan Ahmad Zahid ialah tindakan untuk menyeragamkan semua kontrak membekalkan perkhidmatan kawalan keselamatan kepada kementerian dan agensi kerajaan dengan mengguna pakai format kontrak standard serta modul latihan membabitkan Program CSG diberi akreditasi dengan kerjasama Kementerian Sumber Manusia.

    KDN juga akan membangunkan sistem ‘self-auditing’ dengan bantuan Jabatan Audit Negara dan penguatkuasaaan garis panduan baharu yang telah dilaksanakan berhubung permohonan dan pengendalian senjata api oleh syarikat kawalan keselamatan di bawah Akta Agensi Persendirian 1971 dan Akta Senjata 1960.

    Bagi inisiatif terakhir, timbalan perdana menteri menarik perhatian hadirin apabila berkata ia dibuat untuk menghargai dan memberi penghormatan kepada petugas industri itu.

    “Saya juga mahu tambah satu lagi dalam inisiatif ini iaitu untuk tidak ada lagi panggilan pengawal keselamatan atau “Pak Guard”. Kini mereka dipanggil Pegawai Keselamatan,” katanya.

    Taklimat tersebut dihadiri kira-kira 2,389 ahli pengarah syarikat keselamatan seluruh negara. – BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " 11 Inisiatif Tingkat Imej Industri Keselamatan "