• 100 Kapsul Heroin Dalam Perut

    Published: Tuesday, 12 September 2017
    A- A+

    BANGKOK: Cubaan lelaki Brazil menyeludup dadah dengan menelan 100 kapsul mengandungi heroin akhirnya terbongkar selepas ditangkap ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Suvarnabhumi di Bangkok.

    Pegawai di Biro Pencegahan Narkotik, Sommai Kongwisaisuk berkata, Paulo Nascimento , 27, ditahan ketika mengambil bagasi di lapangan terbang berkenaan pada Rabu lalu.

    “Ketika pemeriksaan kami tidak menemui sebarang objek mencurigakan pada bagasi dan badan suspek itu.

    “Kami membawa Nascimento membuat imbasan X-ray dan menemui banyak kapsul dipercayai mengandungi dadah di dalam perut suspek,” katanya.

    Menurutnya, Nascimento datang ke Bangkok dari Brazil melalui Addis Ababa dengan menaiki penerbangan Ethiopia Airlines.

    Tangkapan itu dibuat susulan satu maklumat ada lelaki dari Brazil cuba membawa masuk dadah ke Thailand.

    “Lelaki itu kemudian dibawa ke hospital di mana dia mengeluarkan 100 kapsul yang disahkan mengandungi dadah jenis heroin seberat 1.3 kilogram.

    “Ketika disoal siasat, Nascimento memberitahu dia diarahkan menelan dadah berkenaan untuk diseludup masuk ke Thailand,” jelasnya.

    Tambah Nascimento, selepas mengeluarkan semua kapsul dadah itu, dia diarahkan bertemu seorang lelaki di sebuah hotel di kawasan Sukhumvit.

    “Nascimento yang bersetuju bekerjasama dengan polis kemudian dibebaskan dan bertemu dengan lelaki berkenaan yang dikenali sebagai Elsonias Da Silva.

    “Lelaki berusia 35 tahun itu ditangkap ketika bertemu dengan Nascimento di hotel berkenaan pada Jumaat lalu,” jelasnya.-Agensi

    Subjects:

  • No Comment to " 100 Kapsul Heroin Dalam Perut "