• Wujudkan Akta Khusus Lindungi Bendera Malaysia

    Published: Tuesday, 29 August 2017
    A- A+
    Foto : Malaysia Access


    Agak sedih apabila melihat bendera kesayangan rakyat Malaysia iaitu Jalur Gemilang yang masih diperlekehkan oleh sesetengah pihak dalam negara kita.

    Dalam menyambut ketibaan Hari Kemerdekaan Negara Ke-60 pada 31 Ogos nanti serta sambutan Hari Malaysia yang ke-54 pada 16 September yang akan datang, tindakan sesetengah pihak serta organisasi yang diliihat masih mengibarkan bendera rasmi negara kita dalam keadaan lusuh, koyak serta terbalik tidak harus diterima oleh mana – mana pihak kerana ianya bukan sahaja tidak melambangkan semangat patriotisme atau semangat cintakan kepada negara kita malah ianya juga menghantar mesej yang negatif khusus kepada generasi muda.

    Tindakan yang tidak bertanggungjawab ini bukan sahaja dilihat berlaku ketika negara menyambut hari – hari penting dalam kalender negara malah ianya beterusan berlaku sepanjang tahun.

    Apabila rakyat sendiri tidak menghormati bendera yang sepatutnya menjadi kebanggaan mereka, jangan harap orang luar akan menghormati bendera negara kita.

    Jika kita semua masih ingat pada tahun lalu di mana insiden yang melibatkan segelintir penonton dari negara asing Grand Prix (GP) Formula Satu (F1) Malaysia di Sepang yang dikatakan menghina dan mengaibkan bendera Jalur Gemilang kita.

    Insiden berkenaan turut telah menjadi viral di media sosial pada tahun lalu melalui kemunculan sekeping gambar yang jelas menunjukkan segelintir penonton F1 yang dipercayai rakyat asing, menghina bendera Jalur Gemilang kita dengan menjadikan bendera Malaysia itu sebagai seluar dalam mereka.

    Perlu diketahui umum, setiap negara dalam dunia mempunyai simbol atau lambang bagi mempamerkan kewujudannya serta kedaulatannya di pentas dunia.

    Malaysia juga tidak terkecuali untuk memiliki simbol kebanggaannya iaitu melalui kewujudan bendera Malaysia yang bernama Jalur Gemilang.

    Bendera Jalur Gemilang kita mempunyai 14 jalur merah dan putih melintang yang sama lebar bermula dengan jalur merah di sebelah atas dan berakhir dengan jalur putih di sebelah bawah.

    Jalur – jalur ini menandakan keanggotaan 13 buah negeri seluruh Malaysia dan sebuah Wilayah Persekutuan. Negeri – negeri berkenaan termasuklah Kedah, Pahang, Kelantan, Johor, Perak, Perlis, Selangor, Negeri Sembilan, Terengganu, Pulau Pinang, Melaka, Sarawak, Sabah, dan Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya).

    Warna merah pada jalur gemilang membawa makna gagah berani dan warna putih padanya pula membawa makna suci murni. Warna kuning yang digunakan pada bulan dan bintang adalah warna Diraja yang melambangkan simbol kedaulatan Raja – Raja Melayu.

    Gabungan tiga warna utama iaitu merah, putih dan biru melambangkan semangat setia kawan Persekutuan Tanah Melayu dan United Kingdom dan penyatuan Tanah Melayu dengan negara – negara Komanwel.

    Seperti yang diketahui umum, bendera negara kita sudah lama wujud sebelum negara kita mencapai kemerdekaan lagi pada tahun 1957 dan ianya telah digunakan sehingga kini. Proses pengubahsuaian terhadap bendera negara kita dibuat pada tahun 1963 selepas terbentuknya Malaysia dengan penyertaan Sarawak dan Sabah.

    Pada tahun 1997, YAB Perdana Menteri ketika itu telah memberi nama Jalur Gemilang kepada bendera negara kita. Sehingga kini, bendera Jalur Gemilang kekal menjadi simbol kebanggaan negara kita serta setiap warganegaranya tanpa mengira dimana mereka berada.

    Walaupun begitu, tindakan tidak bertanggungjawab sesetengah pihak yang dilihat tidak menghormati bendera rasmi negara kita serta bendera – bendera lain yang turut menjadi kebanggaan negara kita dilihat semakin menjadi – jadi.

    Bagi mengatasi masalah ini, pihak – pihak yang berkaitan perlu mengambil tindakkan yang lebih tegas melalui segala peruntukkan undang – undang sedia ada terhadap mana – mana individu atau organisasi yang dilihat tidak menghormati bendera negara kita seperti yang termaktub dibawah Kanun Keseksaan (Akta 574), Akta Hasutan 1948 (Akta 15) dan Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963 (Akta 193).

    Sudah sampai masanya juga sebuah akta khusus diwujudkan bagi melindungi bendera negara kita.

    Dengan adanya akta khusus bagi melindungi bendera kita, hukuman keras dapat dikenakan terhadap mana – mana individu atau organisasi dalam negara kita termasuk warga asing yang berada dalam negara kita yang dilihat mengambil sikap sambil lewa terhadap pengibaran bendera negara kita serta tidak menghormati bendera kebanggaan negara kita. Selamat menyambut hari kemerdekaan negara yang ke – 60. - MalaysianAccess

    Subjects:

  • No Comment to " Wujudkan Akta Khusus Lindungi Bendera Malaysia "