• Waris tuntut Malaysia terima tawaran swasta cari MH370

    Published: Friday, 11 August 2017
    A- A+
    KUALA LUMPUR: Waris penumpang MH370 hari ini menuntut Malaysia menerima tawaran sebuah firma penerokaan Amerika Syarikat (AS) untuk meneruskan operasi mencari pesawat itu, yang digantung awal tahun ini.

    Jejak pesawat Malaysia Airlines itu, yang hilang pada Mac 2014 bersama 239 penumpang, tidak ditemui dalam operasi pencarian laut dalam di selatan Lautan Hindi di luar pantai barat Australia. Pencarian digantung Januari lalu.

    Ocean Infinity, sebuah firma penerokaan dasar laut dengan seangkatan kenderaan pencarian bawah laut yang canggih, mengesahkan mereka membuat tawaran meneruskan operasi pencarian minggu lepas.

    Pihak berkuasa Malaysia berkata perbincangan sedang dijalankan dan firma itu hanya mahukan pembayaran jika pesawat dijumpai.

    Kumpulan sokongan waris MH370, Voice 370, dalam kenyataan mendesak pihak berkuasa menerima tawaran tersebut, dengan berkata: “Kenapa Malaysia tidak menerima tawaran menang-menang ini?”

    Kumpulan itu berkata tawaran dibuat lebih 4 bulan lepas dan ia harus diterima “tanpa lengah lagi”, dan menggesa pihak berkuasa memberikan butiran kepada mereka. Ocean Infinity mahupun kerajaan Malaysia tidak pernah menyatakan bila cadangan dibuat.

    “Kami sentiasa berada dalam keadaan terawang-awang. Mereka (pihak berkuasa yang terlibat dalam operasi pencarian) tidak berurusan dengan kami. Ia mengecewakan,” kata Grace Nathan kepada AFP. Ibu peguamn itu, Anne Daisy, berada dalam pesawat itu.

    “Kami sentiasa tidak tahu.”

    Pegawai pengangkutan Malaysia tidak dapat dihubungi pada Jumaat untuk mendapatkan komen segera.

    Timbalan Menteri Pengangkutan Malaysia Datuk Ab Aziz Kaprawi sebelum ini berkata perjanjian Australia dan China akan diperlukan untuk mencapai kesepakatan. China, di mana kebanyakan penumpang merupakan warga mereka, dan Australia terlibat dalam operasi pencarian ini.

    Hanya 3 serpihan MH370 ditemui di pantai barat Lautan Hindi, termasuk bahagian sayap berukuran 2 meter yang dikenali sebagai flaperon.

    Badan sains kebangsaan Australia, Pertubuhan Penyelidikan Saintifik dan Industri Komanwel (CSIRO) berkata pada April pesawat MH370 “kemungkinan besar” berada di utara zon pencarian sebelum ini – yang meliputi kawasan seluas 120,000 kilometer persegi dan sebahagian besarnya ditentukan oleh isyarat “ping” satelit dan anggaran bahan api yang diisi pesawat.- AFP

    Subjects:

  • No Comment to " Waris tuntut Malaysia terima tawaran swasta cari MH370 "