• Warga Thailand Maut Dilanggar Komuter

    Published: Friday, 18 August 2017
    A- A+

    Lelaki dipercayai warga Thailand maut dalam keadaan mengerikan apabila tangan dan kakinya terputus manakala perut terburai selepas dilanggar komuter di landasan kereta api berhampiran FELDA Rimba Emas, Padang Besar, jam 3.30 petang hari ini.

    Mangsa berusia lingkungan 70-an itu dipercayai menceroboh masuk ke laluan berkenaan melalui Stesen Keretapi Padang Besar sebelum bertindak berjalan di landasan sejauh dua kilometer.

    Ketua Polis Daerah Padang Besar, Superintendan Ghazani Abdul Ghani berkata, pihaknya menerima daripada pihak Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) pada jam 3.45 petang memaklumkan pemandu tren terlanggar seorang lelaki.

    "Menurut laporan KTMB, seorang pemandu keretapi elektrik (ETS) dari arah Selatan ke Utara terlihat lelaki berusia antara 65 ke 70 tahun berjalan di atas landasan keretapi dari arah bertentangan berdekatan pusat penempatan kargo KTMB Padang Besar dan menghubungi pusat kawalan.

    "Bagaimanapun tinjauan polis bantuan KTMB Padang Besar di sekitar landasan keretapi berkenaan tidak menjumpai lelaki itu,"katanya ketika dihubungi.

    Menurut Ghazani, kira-kira jam 3.30 petang, pusat kawalan KTMB menerima maklumat seorang lelaki dilanggar komuter dari arah Padang Besar ke Butterworth.

    "Mayat mangsa terpisah kepada tiga bahagian iaitu, tangan kiri dan kaki kanan terputus dari badan manakala perutnya terburai dan tiada sebarang dokumen pengenalan diri yang dijumpai pada mangsa.

    "Kita percaya mangsa adalah warga Thailand memandangkan tiada bekas suntikan Bacillus Calmette Guerin (BCG) dan terdapat cacahan tatu di badannya,"katanya.

    Beliau berkata, sehubungan itu orang ramai yang kehilangan ahli keluarga diminta menghubungi balai polis berhampiran.

    "Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan pihak polis masih menyiasat untuk mengenal pasti identiti mangsa,"katanya.-myMetro

    Subjects:

  • No Comment to " Warga Thailand Maut Dilanggar Komuter "