• Wanita Dituduh Jual iPhone 6s Tidak Wujud

    Published: Wednesday, 9 August 2017
    A- A+


    WANITA didakwa di Mahkamah Majistret Parit, hari ini, kerana menipu dua individu membabitkan wang berjumlah RM29,200 untuk membeli 28 iPhone 6s dan sebuah komputer riba pada tahun lalu.

    Tertuduh, Nisha Hidayah Mansor, 21, didakwa dengan dua pertuduhan mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

    Bagi tuduhan pertama, Nisha Hidayah yang menganggur dan beralamat di Sri Petaling, Kuala Lumpur, didakwa memperdaya Ahmad Adib Azhar, 21, dengan mendorong mangsa supaya menyerahkan wang RM12,950 melalui dua akaun bank untuk pembelian 12 iPhone 6s yang tidak wujud pada 10 Jun 2016 jam 10 malam di Universiti Teknologi Petronas (UTP) Seri Iskandar.

    Tuduhan kedua, dia didakwa memperdaya Nur Izzatty Salimun, 20, untuk menyerahkan wang RM16,250 melalui satu akuan bank bagi tujuan pembelian 16 iPhone 6s dan sebuah komputer riba yang tidak wujud pada 11 Julai 2016 di Kampus Universiti Teknologi Mara (UiTM) Seri Iskandar kira-kira 1 tengah hari.

    Nisha Hidayah yang diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) Harbans Kaur bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan dan minta dibicarakan.

    Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Nur Farhana Hashim di hadapan Majistret Mohd Fitri Sadarudin.

    Tertuduh dalam rayuannya meminta mahkamah membenarkan jaminan sebanyak RM2,000 bagi kedua-dua pertuduhan kerana tidak bekerja selain sudah lama berhenti sekolah akibat menghidapi sakit tulang belakang selain ibunya seorang ibu tunggal yang bekerja sebagai kerani serta perlu menanggung tiga anak lain.

    Mohd Fitri membenarkan jaminan sebanyak RM3,500 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan dan menetapkan 30 Ogos ini sebutan semula kes.

    Subjects:

  • No Comment to " Wanita Dituduh Jual iPhone 6s Tidak Wujud "