• Walaupun Salah, Netizen Persoal Penduduk Kampung Belasah Wanita Tanpa Belas Kasihan

    Published: Thursday, 17 August 2017
    A- A+

    Laman sosial Facebook semalam kecoh apabila netizen mempersoalkan tindakan sekumpulan lelaki dan penduduk kampung di Kubang Menerong, Tasek Gelugor, memukul seorang gadis tanpa belas kasihan.

    Tiga rakaman video memaparkan wanita itu ditampar, ditengking, dibelasah serta bajunya ditarik sehingga menampakkan bahagian perut dan pakaian dalam menjadi tular di laman sosial sehingga mencetuskan perdebatan dalam kalangan pengguna media sosial.

    Meskipun menyedari perbuatan suspek adalah salah, netizen bagaimanapun mempertikaikan tindakan penduduk kampung menghukum wanita itu dengan membelasahnya tanpa rasa kasihan.

    “Apa yang salah, tak puas hati bawa pergi balai. Pukul perempuan macam ni rasa macam tidak adil,” tulis pengguna Facebook Toki Tok Su.

    “Malaysia ada undang-undang, tak kan pukul sampai lebam-lebam macam tu sekali. Kalau ya pun dia mencuri, tanya betul-betul tak boleh kah? Jangan sampai tangan dan kaki pun ikut bercakap juga,” kata Mohd Fairuz Hazlie.

    Video tersebut juga memaparkan suspek wanita itu disoal orang ramai mengenai tujuannya mengintip namun hanya sempat berkata “sat chek nak explain”.

    Memetik Harian Metro, wanita berusia 18 tahun itu ditangkap oleh penduduk kampung kerana mengintip rumah seorang warga emas, manakala teman lelakinya yang berusia 21 tahun pula menceroboh rumah mangsa.

    Dalam kejadian 9 pagi itu, teman lelaki suspek memasuki rumah warga emas dan cuba merampas barang kemas dipakai mangsa dan berlaku pergelutan sebelum mangsa menjerit meminta tolong.

    Difahamkan, warga emas berusia 70 tahun itu turut dipukul menggunakan kayu.

    Mendengar jeritan warga emas itu, anak mangsa dan jiran bergegas dan berjaya menahan wanita terbabit dan teman lelakinya yang bersembunyi di bawah katil dalam bilik mangsa, lapor akhbar itu lagi.

    Sementara memetik Astro Awani, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Azmi Adam mengesahkan kejadian itu dan kedua-dua suspek telah ditahan.

    Siasatan polis mendapati suspek perempuan dihantar oleh suspek lelaki ke kawasan rumah itu lewat malam dan wanita itu menunggu sehingga penghuni tiada dirumah bagi tujuan menyamun.

    Kes disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan.-Malaysian Digest

    Subjects:

  • No Comment to " Walaupun Salah, Netizen Persoal Penduduk Kampung Belasah Wanita Tanpa Belas Kasihan "