• Trump, Moon Setuju Isu Nuklear Korea Bertambah Serius

    Published: Monday, 7 August 2017
    A- A+


    WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dan rakan sejawatannya dari Korea Selatan, Moon Jae-in bersetuju bahawa isu nuklear Semenanjung Korea, menimbulkan ancaman langsung yang semakin hari bertambah serius, menurut kenyataan Rumah Putih semalam.

    Agensi berita China Xinhua melaporkan, kedua-dua pemimpin turut mengalu-alukan resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa (PBB) yang sebulat suara menerima pakai sekatan baharu dikenakan ke atas Korea Utara.

    Majlis Keselamatan, dalam satu mesyuarat luar biasa pada Sabtu, sebulat suara menerima pakai resolusi untuk mengenakan sekatan baharu ke atas Korea Utara kerana mengabaikan resolusi sebelumnya serta tindakan negara itu menjalankan ujian peluru berpandu balistik antara benua baru-baru ini.

    Di bawah Resolusi 2371 (2017) yang digubal AS, Korea Utara dilarang mengeksport arang batu (sumber pendapatan luar negara terbesar), besi, bijih besi, timah, bijih timah dan makanan laut.

    Langkah berkenaan dilihat berupaya menghalang Korea Utara memperolehi pendapatan lebih AS$1 bilion setahun.

    Pada perkembangan sama, perwakilan tetap China ke PBB Liu Jieyi berkata, China juga menentang tindakan melancarkan ujian peluru berpandu Korea Utara yang jelas melanggar resolusi dan bertentangan dengan kehendak seluruh masyarakat antarabangsa.

    “China sentiasa tegas menentang langkah yang bertujuan mewujudkan huru-hara dan konflik di semenanjung itu.

    “Persetujuan sebulat suara anggota Majlis Keselamatan PBB sekaligus menggambarkan bahawa masyarakat antarabangsa bersatu dalam isu nuklear,” katanya. – BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Trump, Moon Setuju Isu Nuklear Korea Bertambah Serius "