• Travis Pastrana Dan Subaru Rally Team USA Pecah Rekod Climb To The Clouds – Mount Washington

    Published: Tuesday, 29 August 2017
    A- A+

    Awal bulan ini, Subaru telah memperbaharui catatan rekod bagi kelas sedan empat pintu di litar Nürburgring di mana WRX STI Type-RA NBR Special kini memegang rekod kelas tersebut pada litar “The Green Hell” berkenaan. Ini satu lagi video memaparkan Subaru mencatatkan sebuah lagi rekod baharu, kali ini di Mount Washington pada acara Climb to the Clouds, Amerika Syarikat.

    Cubaan memecahkan rekod ini sebenarnya dilakukan pada awal tahun lalu oleh Subaru Rally Team USA yang dikendalikan oleh Vermont SportsCar. Dua pemandu dan dua Subaru WRX STI digunakan untuk percubaan kali ini – pemandu rali yang berasal dari UK, David Higgins (adik kepada pemegang rekod Isle of Mann juga memandu Subaru, Mark Higgins), serta pemandu rali/penunggang motocross/juara X-Games dari Amerika Syarikat iaitu Travis Pastrana.

    Rekod yang cuba dipecahkan kali ini sebenarnya dipegang oleh Higgins sendiri yang juga dicatatkan dengan memandu Subaru WRX STI pada tahun 2014 lalu – dengan rekod 6 minit 09.09 saat. Manakala untuk cubaan baharu ini, kedua-dua mereka, Higgins dan Pastrana masing-masing diberikan Subaru WRX STI dengan enjin yang diambil dari jentera Kejohanan Global Rallycross yang menghasilkan kuasa 600 hp – sekali ganda dari jentera yang digunakan pada 2014.

    Bukan sahaja lebih berkuasa, jentera baharu ini juga turut dibina lebih ringan dan diberikan talaan untuk jalan tar (walaupun sebahagian laluan Mount Washington ini tidak diturap, tidak seperti laluan Pikes Peaks yang kini telah ditar sepenuhnya). Selain dari cabaran sebahagian laluan yang tidak berturap, perlumbaan bercorak Hillclimb ini juga tidak membenarkan pemandu menggunakan khidmat juruarah dan mereka terpaksa mengingat sendiri setiap selekoh yang semuanya kelihatan hampir sama.

    Malangnya, Higgins terpaksa mengalah pada cubaan kali ini setelah terbabas pada pertengahan laluan, walaupun catatan speed trap dan bahagian masa sebelum beliau terbabas adalah lebih pantas dari Pastrana. Akhirnya, Travis Pastrana berjaya menamatkan Mount Washington Hillclimb dengan catatan masa 5 minit 44.72 saat atau 24.37 saat lebih pantas dari rekod sebelum ini.

    Dengan catatan tersebut, Subaru WRX STI dan Travis Pastrana kini sah sebagai yang terpantas di laluan 11.9 km Mount Washington – dimana perlumbaan berkenaan sudahpun berlangsung sejak lebih 100 tahun yang lalu. - Paultan

    Subjects:

  • No Comment to " Travis Pastrana Dan Subaru Rally Team USA Pecah Rekod Climb To The Clouds – Mount Washington "