• Transformasi Besar Selepas Lebuhraya Pan Borneo Sabah Siap - Musa

    Published: Sunday, 20 August 2017
    A- A+


    KUALA LUMPUR – Sabah bakal mengalami transformasi besar apabila projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah Fasa 1 siap pada 2021, kata Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman.

    Beliau berkata projek mega itu mampu memberi impak besar kepada kesejahteraan rakyat dan ekonomi Sabah.

    "Rangkaian Lebuhraya Pan Borneo Sabah merupakan peningkatan taraf daripada R3 kepada R5 mengikut piawaian Jabatan Kerja Raya dengan ciri-ciri keselesaan dan keselamatan untuk pengguna.

    “Ini adalah bukti komitmen kerajaan Barisan Nasional (BN) untuk meningkatkan pertumbuhan ekonomi negeri melalui pembangunan prasarana yang lebih sistematik, cekap dan selamat,” katanya ketika ditemu bual Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Dalam Negeri, Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datuk Mokhtar Hussain di pejabat beliau di Kota Kinabalu baru-baru ini.

    Lebuh raya sepanjang 706 kilometer itu antara lain akan dinaik taraf daripada 2 lorong 2 hala kepada 4 lorong 2 hala termasuk jalan pintas yang memendekkan masa dan jarak perjalanan.

    Musa berkata pembinaan Fasa 1 projek lebuh raya itu membabitkan kos sebanyak RM12.86 bilion.

    Projek itu terkandung dalam aku janji BN dalam manifesto Pilihan Raya Umum Ke-13 di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, yang merupakan sebahagian daripada perancangan membina lebuh raya di Sabah dan Sarawak.

    "Bermula daripada manifesto dan perancangan disusuli dengan beberapa perbincangan dan pemeteraian perjanjian. Hari ini projek Pan Borneo Sabah dilaksanakan mengikut beberapa fasa dan pakej," katanya.

    Menurutnya kerajaan BN juga berjanji lebuh raya itu bebas tol apabila siap kelak.

    “Rakyat Sabah tidak akan dikenakan tol apabila menggunakan lebuh raya itu nanti. lni kerana mereka tidak mempunyai pilihan laluan atau jalan alternatif lain,” katanya.

    Musa berkata projek lebuh raya itu juga bakal memacu pertumbuhan ekonomi Sabah kerana ia membolehkan perhubungan penduduk dan industri dijalinkan.

    “Lebuhraya Pan Borneo Sabah sebagai infra rakyat, sudah pasti ia memberikan manfaat yang sangat besar kepada rakyat di Sabah,” katanya.

    Borneo Highway PDP Sdn Bhd dilantik sebagai Rakan Pelaksana Projek Fasa 1 projek lebuh raya itu.

    Perjanjian melantik BHP oleh Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah telah dimeterai pada 11 April 2016.

    Selain itu, Musa berkata kerajaan negeri juga akan membina jalan raya baharu pesisir pantai di barat laut Sabah bagi memajukan lagi sektor pelancongan di wilayah berkenaan. - BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Transformasi Besar Selepas Lebuhraya Pan Borneo Sabah Siap - Musa "