• Tiga Juara Dunia Bawa Jalur Gemilang

    Published: Tuesday, 8 August 2017
    A- A+


    KUALA LUMPUR: Malaysia membuat kelainan apabila buat kali pertama bakal menampilkan tiga atlet untuk membawa Jalur Gemilang dalam upacara pembukaan Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017).

    Tiga juara dunia yang diketuai Azizulhasni Awang (berbasikal), Mohd. Al Jufferi Jamari (silat) dan Cheong Jun Hoong (terjun) diberi penghormatan untuk menjadi pembawa Jalur Gemilang dalam majlis yang bakal diadakan di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 19 Ogos ini.

    Perkara tersebut diumumkan oleh Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin ketika hadir dalam Program Akhir Kontinjen Malaysia di sini, sebentar tadi.

    “Saya hendak umumkan pembawa bendera kontinjen negara. Setelah memikirkan perkara ini begitu lama, kita buat sedikit kelainan dalam Sukan SEA kali ini dengan menamakan tiga atlet untuk membawa Jalur Gemilang.

    “Ketiga-tiga atlet ini merupakan juara dunia. Penghormatan sebagai pembawa Jalur Gemilang dalam upacara pembukaan akan diberikan kepada Cheong Jun Hoong, Al Jufferi dan Azizulhasni Awang,” kata Khairy.

    Al Jufferi yang juga Olahragawan Kebangsaan 2015 membuktikan dia adalah jaguh silat yang sukar ditumbangkan apabila merangkul kejuaraan dunia buat kali ketiga berturut-turut dalam kelas Putera E di Bali, Indonesia tahun lalu.

    Azizulhasni pula memahat sejarah sebagai pelumba basikal pertama negara bergelar juara dunia dengan memenangi acara keirin di Hong Kong pada April lalu.

    Kejayaan Al Jufferi dan Azizulhasni kemudian disusuli oleh kemenangan tidak diduga Jun Hoong yang memenangi emas 10 meter platform individu wanita dalam Kejohanan Akuatik Dunia di Budapest, bulan lalu.- UTUSAN ONLINE

    Subjects:

  • No Comment to " Tiga Juara Dunia Bawa Jalur Gemilang "