• Tiada Kompromi Terhadap Salah Laku Anggota Polis - Amer

    Published: Wednesday, 9 August 2017
    A- A+

    KUCHING: Polis Sarawak tidak akan berkompromi dengan mana-mana pegawai atau anggota polis yang terlibat dalam salah laku yang boleh menjejaskan imej dan nama baik pasukan polis khususnya di Sarawak.

    Pesuruhjaya Polis Sarawak Dato’ Amer Haji Awal berkata, pihaknya tidak akan bertolak ansur dengan mana-mana pegawai dan anggotanya yang didapati bersalah melakukan kesalahan jenayah.

    “Kes terbaru semalam dan awal pagi tadi ekoran penahanan enam suspek yang terdiri daripada seorang anggota berpangkat Inspektor yang bertugas di salah satu cawangan perlesenan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak.

    “Lima lagi anggota pangkat rendah yang bertugas di lain-lain cawangan sekitar bandar ini yang dipercayai melakukan pemerasan terhadap peniaga di Batu Kawa dan Sematan yang mana laporan pertama diterima pada 3 Ogos dan laporan kedua diterima semalam.” katanya

    Beliau berkata demikian pada sidang media di Pusat Media IPK Sarawak di sini sebentar tadi.

    Kesemua enam suspek kini dalam tahanan reman selama tiga hari bermula hari ini dan kes disiasat mengikuti Seksyen 384 Kanun Keseksaan kerana melakukan pemerasan.

    Jelasnya, sekiranya didapati bersalah mereka akan dikenakan tindakan mengikut undang-undang sedia ada di negara ini selain tindakan tatatertib dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) termasuk dibuang daripada perkhidmatan dan dihadapkan ke Mahkamah.-Sarawakiana
  • No Comment to " Tiada Kompromi Terhadap Salah Laku Anggota Polis - Amer "