• Teruja Dapat Ke Tanah Suci Pada Usia Muda

    Published: Monday, 21 August 2017
    A- A+

    KELANA JAYA: “Saya bersyukur dan bertuah apabila terpilih menjadi tetamu Allah pada usia muda di samping menjadi pengiring kepada ibu yang mengalami masalah penglihatan,” kata Amir Nasir, 29.

    Amir yang menetap di Kuala Lumpur berkata, dia dipilih menjadi pengiring kepada ibu disebabkan ibunya tidak mempunyai peneman untuk menunaikan haji memandangkan arwah ayah sudah tiada.

    “Disebabkan itu, saya diberi kepercayaan menjadi pengiring kepada ibu sepanjang menunaikan ibadat haji nanti.

    “Sejak arwah ayah meninggalkan kami pada 2007, ibu terus mendaftar haji dan membuat rayuan tiga kali kepada Lembaga Tabung Haji (TH) supaya dipercepatkan giliran memandangkan dia mengalami masalah penglihatan,” katanya.

    Menurutnya, selepas diberitahu ibunya mendapat panggilan menjadi tetamu Allah tahun ini, dia juga turut sama membuat rayuan untuk menjadi pengiring buat ibunya.

    “Alhamdulillah rayuan yang dibuat dua kali akhirnya diterima selepas penantian 10 tahun.

    “Dijemput menjadi tetamu Allah untuk menunaikan haji pada tahun ini anugerah terindah di mana ini kali pertama saya dan ibu pergi menunaikan haji bersama-sama,” katanya.

    Menurutnya, sepanjang mengerjakan haji, dia akan memantau setiap pergerakan ibunya memandangkan ibunya menghadapi masalah penglihatan.

    “Sepanjang berada di sana nanti, saya akan memimpin ibu supaya dia dapat melaksanakan semua ibadat dengan lancar tanpa sebarang masalah.

    “Di Tanah Suci nanti, saya akan mendoakan agar ibu diberi kesembuhan daripada masalah yang dihadapinya supaya ibu kekal cergas dalam setiap pekerjaan yang dilakukan selepas ini,” katanya.-myMetro

    Subjects:

  • No Comment to " Teruja Dapat Ke Tanah Suci Pada Usia Muda "