• Teruja Beraksi Di Samping Messi

    Published: Tuesday, 29 August 2017
    A- A+

    BARCELONA: Bintang muda Perancis, Ousmane Dembele menolak sebarang perbandingan dengan Neymar dan menegaskan dia masih perlu banyak belajar di sebalik muncul pemain kedua termahal dalam sejarah apabila dia diperkenalkan oleh Barcelona, semalam.

    Nilai perpindahan pemain berusia 20 tahun itu 105 juta euro (RM536 juta) dari Borussia Dortmund mungkin boleh meningkat kepada 145 juta euro (RM740 juta) dengan beberapa tambahan bergantung kepada persembahannya, ketika Barca berbelanja untuk mengisi kekosongan ditinggalkan Neymar yang berpindah dengan rekod dunia 222 juta euro (RM1.1 bilion) ke Paris Saint-Germain.

    “Saya tidak berada di sini untuk menggantikan Neymar,” kata pemain Perancis itu.

    “Saya akan cuba meningkatkan keupayaan diri. Saya baru saja berusia 20 tahun dan perlu banyak belajar. Itulah sebabnya saya datang ke kelab besar ini.”

    Dembele akan membentuk gandingan serangan di samping Pemain Terbaik Dunia lima kali, Lionel Messi dan Luis Suarez ketika Barca menyasarkan untuk merampas kejuaraan Liga Juara-Juara dan La Liga daripada musuh utama Real Madrid.

    Dembele menjangkakan dia akan belajar daripada Messi, yang dianggapnya sebagai pemain terbaik dalam sejarah.

    “Satu penghormatan untuk menjadi sebahagian daripada pasukan Messi,” ujar Dembele.

    “Dia seorang pemain hebat, pemain terbaik di dunia, terbaik dalam sejarah bola sepak dan saya amat gembira untuk bermain dalam pasukannya.

    “Saya akan belajar, menyaksikan bagaimana dia bermain dan bagaimana dia di dalam dan luar padang.”-AFP

    Subjects:

  • No Comment to " Teruja Beraksi Di Samping Messi "