• Terakhir Dilihat 1990, Dugong Muncul Di Kampung Sim-Sim

    Published: Friday, 11 August 2017
    A- A+

    Orang ramai dikejutkan dengan kemunculan seekor dugong di perairan Kampung Sim-Sim, di Sandakan, hari ini.

    Kejadian disedari penduduk perkampungan atas air itu pada kira-kira 8.30 pagi, sebelum melaporkan kepada Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sandakan.

    Pegawai JHL Sandakan, Hussien Muin berkata, pihaknya membuat pemantauan ke kawasan itu bersama Unit Penyelamat Hidupan Liar (WRU) sebaik menerima laporan penduduk.

    Katanya, kehadiran spesies itu juga sudah dimaklumkan kepada Fakulti Marin Universiti Malaysia Sabah (UMS) untuk tindakan lanjut.

    "Menerusi perbincangan awal, UMS dijangka menghantar penyelidik untuk mengumpul data mengenai kehadiran dugong di kawasan ini.

    "Laporan polis juga sudah dibuat bagi memaklumkan kehadiran spesies yang tersenarai dalam Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997," katanya hari ini.

    Dugong spesies mamalia laut yang hampir pupus dikatakan hidup sejak 55 juta tahun lalu dan mampu membesar sehingga 3.5 meter panjang dan seberat 400 kilogram.

    Difahamkan, ini kali pertama dugong dilihat di perairan Sim-Sim namun penduduk mendakwa mamalia laut itu pernah kelihatan di perairan Sandakan dan Libaran sekitar 1990-an.-myMetro

    Subjects:

  • No Comment to " Terakhir Dilihat 1990, Dugong Muncul Di Kampung Sim-Sim "