• Telur Dadar Gergasi Dimasak Dengan 10,000 Biji

    Published: Friday, 18 August 2017
    A- A+


    BRUSSELS – Ketika seluruh Eropah dilanda kebimbangan isu telur ayam beracun di pasaran, sebuah bandar di Belgium, Malmedy tetap menganjurkan acara goreng telur dadar gergasi.

    Ia diadakan sebagai program tetap tahunan sekali gus menjulang warisan tradisi bandar terletak 151 kilometer dari ibu kota Brussels itu sejak 22 tahun lalu untuk memasak telur dadar gergasi dalam festival diadakan kelmarin.

    Uniknya media tempatan melaporkan, puluhan tukang masak dikerah bukan dengan menggunakan 100 atau 1,000 biji telur tetapi sehingga 10,000 biji berjaya digoreng dalam periuk gergasi yang seluas empat meter diameter!

    Acara itu malah mendapat liputan luas di sebalik isu pencemaran telur yang tular ketika ini menyaksikan jutaan telur ayam terpaksa ditarik balik dari pasar raya 18 buah negara Eropah ekoran penggunaan ubat serangga fipronil.

    Racun kimia berkenaan amat dilarang keras dalam proses rantaian makanan kerana kajian saintifik perubatan menunjukkan toksik itu boleh menyebabkan kerosakan serius pada organ penting dalam tubuh badan manusia.

    Beratus-ratus penduduk juga berhimpun di Malmedy dan presiden cawangan tempatan persaudaraan telur dadar gergasi itu yakin bahawa kesemua telur yang disediakan penganjur tersebut adalah selamat untuk dimakan.

    Ia bahkan diberikan percuma kepada orang ramai. Tradisi ini juga diamalkan di Bessières dan Fréjus di Perancis, Dumbea di New Caledonia, Abbeville di Louisiana, Amerika Syarikat, Granby di Canada serta Pigüé di Argentina.

    Telur dadar gergasi itu digoreng oleh Persaudaraan ‘Knights’ Telur Dadar Gergasi Sedunia atau “The World Fraternity of Knights of the Giant Omelette” yang ditubuhkan pada 1973 lalu. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA

    Subjects:

  • No Comment to " Telur Dadar Gergasi Dimasak Dengan 10,000 Biji "