• Tambah Laluan, Naik Taraf LTAL Lonjak Pelancongan Langkawi

    Published: Wednesday, 16 August 2017
    A- A+

    ALOR SETAR: Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) merancang menambah jumlah penerbangan terus ke Langkawi bagi meningkatkan jumlah pelancong.

    Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengangkutan dan Badan-Badan Kerajaan negeri, Datuk Tajul Urus Mat Zain, berkata LADA sudah berunding dengan tujuh syarikat penerbangan antarabangsa kerana Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (LTAL) hanya mempunyai dua penerbangan terus antarabangsa iaitu dari Singapura dan Guangzhou, China.

    Katanya, syarikat terbabit ialah Scoot Airlines (Singapura), Happy Air (Thailand), Tuifly Airlines (Jerman), Finnair (Finland), Air India (India), Qatar Airways dan Emirates Airlines (Emiriah Arab Bersatu).

    "AirAsia juga menambah laluan dari Shenzen (China) ke Langkawi sebanyak tiga kali seminggu bermula Khamis lalu.

    "Penerbangan terus Langkawi-Kuching pula sebanyak empat kali seminggu," katanya.

    Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Nor Saidi Nanyan (BN - Kuah) ketika sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, di sini, hari ini.

    Tajul Urus berkata, sehingga 31 Julai lalu penerbangan berjadual seminggu ke Langkawi adalah sebanyak 278 penerbangan membabitkan Malaysia Airlines, AirAsia, Malindo Air, Tiger Air, Firefly dan China Southern Airlines.

    "Penerbangan sewa khas ke Langkawi meningkat daripada 24 pada 2013 kepada 77 pada tahun lalu, manakala tahun ini sehingga 31 Julai, Langkawi menerima sebanyak 23 penerbangan sewa khas," katanya.

    Mengenai projek pembesaran LTAL yang membabitkan kos keseluruhan RM89 juta, Tajul Urus berkata, kerja naik taraf itu membabitkan tempoh 10 bulan melalui dua fasa dengan projek akan bermula pada 1 September ini.

    "Fasa pertama membabitkan kerja pembesaran parkir yang memakan masa kurang dua bulan bermula 1 September ini, diikuti fasa kedua meliputi pembesaran balai ketibaan, tandas, terminal komersial, surau dan laluan kenderaan ke terminal utama.

    "Projek (Fasa kedua) akan bermula pada 15 Oktober ini hingga 31 Ogos tahun depan," katanya.

    Menjawab soalan tambahan Datuk Seri Mukhriz Mahathir (PPBM-Ayer Hitam), Tajul Urus menafikan kerajaan mengetepikan keselesaan pelancong ke Langkawi yang masuk ke pulau itu melalui jeti penumpang.

    "Pada Mac lalu, kerajaan sudah diluluskan peruntukan RM280 juta untuk mengubahsuai dan menaik taraf jeti penumpang di Kuala Kedah bersama-sama jeti kargo untuk mengatasi isu kesesakan.

    "Selain itu, Jabatan Laut Malaysia juga sudah meluluskan lesen untuk syarikat mengendalikan bot dan feri eksekutif," katanya. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Tambah Laluan, Naik Taraf LTAL Lonjak Pelancongan Langkawi "