• Tak Boleh Bagi Myanmar Menang

    Published: Sunday, 20 August 2017
    A- A+

    Pemain perancang skuad bawah 22 tahun (B-22) negara Nor Azam Azih tidak mahu mereka tertekan untuk mencari tiket ke separuh akhir dengan memastikan kemenangan ke atas Myanmar dalam pertembungan Kumpulan A di Stadium Shah Alam esok.

    Biarpun peluang Malaysia belum tertutup andai gagal meraih tiga mata dalam perlawanan ketiga itu kerana akan menentang Laos dalam perlawanan terakhir Rabu ini, Nor Azam mahu misi mereka diselesaikan lebih awal.

    “Setiap perlawanan kami tak boleh kalah, jika kalah dengan Myanmar, ia akan menyusahkan. Jika kami layak selepas perlawanan dengan Myanmar, kurang tekanan untuk kami bila berdepan Laos nanti,” katanya kepada Arena Metro.

    Dua kemenangan berturut-turut dengan keputusan 2-1 ke atas Brunei dan Singapura meletakkan skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee berada di landasan terbaik untuk mengatasi pencapaian dua tahun lalu di Singapura apabila terkandas di peringkat kumpulan.

    Kemenangan pada perlawanan ketiga esok akan membolehkan Malaysia mengiringi Myanmar ke separuh akhir namun ia bukan tugas mudah apabila pasukan lawan itu yang juga naib juara di Singapura mahu mengejar kedudukan selaku juara kumpulan.

    “Kami sudah melihat permainan dengan Myanmar dan kami juga sudah bertemu dengan mereka dalam perlawanan persahabatan sebelum ini di Stadium Shah Alam (menang 2-0) tapi keputusan itu tak boleh diambil kira.

    “Kami tak boleh bagi mereka menang, kami ada kelebihan main di tempat sendiri. Apa yang penting kami kena lebih berdisiplin ketika bertahan dan tidak melakukan kesilapan,” kata Nor Azam.

    Pemain berusia 22 tahun itu dijangka akan diturunkan dalam kesebelasan utama esok selepas hanya masuk sebagai pemain gantian pada babak kedua untuk menyumbat gol penyamaan ketika menewaskan Singapura, Rabu lalu.-myMetro

    Subjects:

  • No Comment to " Tak Boleh Bagi Myanmar Menang "