• Tabung Wakaf Kumpul RM23.05j - Idris

    Published: Monday, 7 August 2017
    A- A+


    KUALA LUMPUR: Sebanyak RM23.05 juta berjaya dikumpul menerusi Tabung Wakaf yang ditubuhkan 13 universiti awam di negara ini.

    Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh, berkata Universiti Putra Malaysia (UPM) mencatatkan jumlah pengumpulan tertinggi dengan RM8 juta diikuti Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) sebanyak RM4.84 juta.

    "Setakat ini, 13 universiti awam sudah menubuhkan tabung wakaf manakala tujuh lagi masih dalam proses untuk mendapat kelulusan daripada pihak majlis agama negeri.

    "Kementerian Pendidikan Tinggi dengan kerjasama pelbagai agensi sudah membuat satu garis panduan bagi membantu pihak universiti awam dalam menjana pendapatan sendiri termasuk panduan pengutipan dana endowmen serta wakaf," katanya ketika sesi jawab lisan di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

    Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datin Mastura Mohd Yazid (BN-Kuala Kangsar) yang bertanya jumlah universiti awam di negara ini yang sudah mewujudkan tabung wakaf.

    Idris berkata, sebanyak RM1.85 bilion berjaya dikumpul menerusi endowmen membabitkan 20 universiti awam sehingga 20 Jun lalu.

    Universiti Malaya (UM) mencatatkan jumlah dana tertinggi membabitkan RM1.6 bilion, diikuti Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan RM71 juta.

    Menjawab soalan tambahan daripada Mastura, Idris berkata, kerajaan akan memastikan pemberi sumbangan tabung wakaf universiti awam akan diberi pengecualian cukai.

    "Kita sedang bekerjasama dengan Kementerian Kewangan untuk memastikan mereka (pelajar, staf universiti dan syarikat luar) mendapat pengecualian cukai seperti yang termaktub di bawah Seksyen 44(b) Akta Cukai Pendapatan 1967," katanya. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Tabung Wakaf Kumpul RM23.05j - Idris "