• SukanSeaKL2017 : Polis Siap Siaga Hadapi Kemungkinan

    Published: Wednesday, 16 August 2017
    A- A+

    KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah bersiap siaga untuk berdepan sebarang kemungkinan ancaman pengganas menjelang penganjuran Sukan SEA ke-29 bermula 19 Ogos ini dan sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos nanti, kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar.

    Beliau berkata, anggota yang sedia ada untuk mengawal kedua-dua acara itu adalah mencukupi dan orang ramai termasuk pelancong dari luar tidak perlu bimbang tentang keselamatan mereka.

    “Kita (PDRM) tetap bersiap siaga terhadap apa juga ancaman menjelang Sukan SEA dan semasa Hari Kebangsaan nanti. Tidak ada masalah, orang ramai boleh hadir,” katanya kepada pemberita selepas istiadat penganugerahan pingat kedaulatan negara kepada 158 pegawai dan anggota yang terlibat dalam Op Daulat di Bukit Aman hari ini.

    Beliau berkata polis akan mengawal ketat di semua pintu masuk Stadium Bukit Jalil menjelang acara perasmian Sabtu ini dan orang ramai dinasihat datang awal untuk mengelak kesesakan serta tidak membawa bahan terlarang masuk ke stadium.

    Menjelang kejohanan Sukan SEA Ke-29 kali ini, seramai 12,000 anggota pelbagai unit termasuk Komando 69 dan Unit Tindakan Khas (UTK) akan ditugaskan di semua lokasi pertandingan termasuk hotel penginapan atlet dari semua negara yang mengambil bahagian.

    Temasya Sukan SEA ke-29 akan bermula secara rasmi pada 19 hingga 30 Ogos.

    Semalam, Polis Perak mendedahkan wujudnya ancaman militan Daesh pada sambutan Hari Kebangsaan yang akan diadakan di negeri itu pada 31 Ogos nanti.

    Ketua Polis Perak, Datuk Hasnan Hassan berkata pihaknya memperoleh maklumat mengenai ancaman itu daripada siasatan dan pemerhatian pihak berkuasa. - Bernama

    Subjects:

  • No Comment to " SukanSeaKL2017 : Polis Siap Siaga Hadapi Kemungkinan "